Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata tiga lagi menteri
akan dilantik menjadikan keseluruhan barisan Kabinetnya kepada 29 orang
menteri.
Pelantikan tiga menteri itu hanya boleh dibuat selepas mereka mengangkat sumpah sebagai senator di Dewan Negara, katanya.
"Selagi kita tidak ada acara mengangkat sumpah menjadi senator maka selagi itulah tidak boleh lantik sebagai menteri.
"Kita akan mempunyai 29 orang (menteri), sekarang ada 26 orang, jadi
ada tiga orang lagi," katanya ketika ditemui pemberita selepas Istiadat
Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan
dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia oleh Menteri dan Timbalan Menteri
Persekutuan di Istana Negara di Kuala Lumpur, hari ini.
Seramai 13 menteri dan 23 timbalan menteri mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.
Sebelum ini, 13 orang menteri yang diketuai Timbalan Perdana Menteri
Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail telah mengangkat sumpah jawatan
sebagai menteri di bawah pentadbiran Dr Mahathir pada 21 Mei lepas
susulan kemenangan Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9
Mei lepas.
Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-14 akan bersidang mulai 16 Julai ini sehingga 16 Ogos depan.
Sementara itu, Dr Mahathir berkata beliau akan mengadakan pertemuan
dengan menteri dan timbalan menteri yang mengangkat sumpah hari ini bagi
memberi penerangan berhubung tanggungjawab dan peranan yang harus
dimainkan mereka.
Dalam pada itu, ditanya tentang pelantikan Ketua Hakim Negara yang
baharu bagi menggantikan Tun Md Raus Sharif, perdana menteri berkata ia
akan diumumkan selepas Md Raus menamatkan perkhidmatan pada hujung bulan
ini.
Kerajaan sudah mempunyai calon untuk mengisi jawatan itu, namun ia tidak boleh diumumkan pada masa ini, katanya.
"Dia (Md Raus) bercuti pada masa ini, pada hujung bulan ini dia akan
bersara secara pilihan dan selepas itu kita akan umumkan siapa
pengganti," katanya.
- Bernama
No comments:
Post a Comment