(Ubah saiz teks)
SERDANG - Universiti Putra Malaysia (UPM) menjelaskan tiga wanita Islam
membawa anjing yang tular melalui sebuah klip video kelmarin merupakan
pelajar dari Fakulti Perubatan Veterinar (FPV).
Pengarah Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi, Profesor Dr Nor
Kamariah Noordin berkata ketiga-tiga pelajar Doktor Perubatan Veterinar
(DPV) itu sedang menjalani latihan praktikal luar kampus.
Menurutnya, dalam pengajian itu, pelajar yang beragama Islam tidak
terkecuali untuk mengendalikan pelbagai spesis haiwan termasuk anjing
dan babi.
"(Dalam pengajian ini) ia melibatkan semua spesis haiwan samada yang
kecil atau besar seperti kucing, anjing, babi, burung, ayam, lembu,
rusa, ikan, gajah dan lain-lain haiwan.
"Keperluan ini adalah merupakan syarat bergraduat program DPV yang
dikawal oleh Majlis Veterinar Malaysia," katanya dalam satu kenyataan,
hari ini.
Kelmarin rakaman video berdurasi 34 saat menjadi tular yang mendakwa
tiga wanita bertudung membawa anjing bersiar-siar di tempat awam.
Pelajar-pelajar tersebut sedang menjalani latihan praktikal luar kampus
selama seminggu mulai 2 Julai hingga 8 Julai di PAWS Animal Welfare
Society, Subang Selangor.
Namun katanya, pihak universiti sentiasa memastikan kebajikan para
pelajar terpelihara termasuk menyediakan kemudahan menyamak setiap kali
selesai sesi latihan.
Dalam pada itu, Nor Kamariah menegaskan video tersebut bukan
menggambarkan secara keseluruhan dakwaan orang ramai mengenai isu
menyentuh anjing oleh orang Islam yang ditularkan.
Mengulas lanjut, Nor Kamariah berkata latihan praktikal luar kampus
merupakan sebahagian daripada syarat keperluan pengajaran dan
pembelajaran program DPV.
Tinjauan Sinar Harian mendapati, individu yang memuatnaik video
tersebut dikecam netizen selepas fakta sebenar berkaitan dakwaan itu
didedahkan
No comments:
Post a Comment