Xiaohui ditahan polis kerana menjual bayinya yang baharu berusia 10 hari. - Foto Polis Yiwu
YIWU - CHINA. Seorang bapa di China yang terdesak mahukan anak lelaki
tergamak menjual bayi perempuannya yang baharu berusia 10 hari dengan
harga 4,000 yuan (RM2,401).
Menurut polis daerah Yiwu, lelaki bernama Xiaohui itu, dikatakan kecewa apabila mendapat anak perempuan untuk kali kedua.
Tanpa berfikir panjang, dia menjual bayinya yang berusia 10 hari kepada
satu pasangan di wilayah Hubei dengan harga 4,000 yuan (RM2, 401) pada
penghujung September lalu.
Tindakannya itu dilaporkan kepada pihak polis oleh ibu kandung lelaki berkenaan setelah menyedari cucunya hilang.
Dalam kenyataan kepada polis, Li, 42, memberitahu bahawa anak lelakinya
sering menolak permintaannya untuk menjaga cucu yang baharu dilahirkan
itu.
"Saya hanya melihat cucu saya untuk beberapa kali, selepas itu saya
tidak pernah melihatnya lagi, malah anak lelaki saya tidak mengizinkan
saya masuk ke rumah," katanya sambil menambah dia hanya dibenarkan
meninggalkan lauk yang dimasak di depan pintu.
Pada Oktober lalu, Li akhirnya berpeluang melawat menantunya ketika
anaknya tiada di rumah, namun kelibat cucu keduanya itu langsung tidak
kelihatan.
Mengesyaki sesuatu yang tidak baik telah berlaku, wanita itu membuat
laporan polis dan akhirnya Xiaohui mengaku menjual bayinya kerana
mahukan anak lelaki.
Xiaohui yang juga seorang penganggur, mendakwa berasa tertekan dari
segi kewangan kerana telah pun mempunyai seorang anak perempuan sebelum
ini.
Pada Oktober 15 yang lalu, pihak polis berjaya menjejaki bayi berkenaan yang kini di bawah jagaan ibu dan neneknya.
Xiaohui dan pasangan yang mengaku membeli bayi tersebut telah ditahan
polis, mengikut undang-undang China, kesalahan pemerdagangan dan
penjualan wanita dan kanak-kanak boleh dihukum lima hingga 10 tahun
penjara, namun, hukuman penjara seumur hidup atau hukuman mati juga
boleh dikenakan. - Dailymail
No comments:
Post a Comment