
SHAH ALAM: Datuk Kamarudin Jaffar berkata isu gesaan Gabungan Teksi
Se-Malaysia yang mendesak Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook sepatutnya
tidak timbul.
Timbalan menteri pengangkutan itu berkata, ini kerana segala
keputusan yang dibuat adalah secara bersama-sama, bukannya oleh
individu.
Beliau berkata, banyak pertemuan telah diadakan dengan persatuan
pemandu teksi bukan sahaja oleh menteri tetapi juga kementerian.
“Sebenarnya kita ada perancangan dasar yang jelas
sebagaimana yang telah diumumkan untuk memastikan industri teksi dan
e-hailing diberikan layanan dan diletakkan syarat yang sama,” katanya
kepada FMT selepas menghadiri Forum Ilmuan Islam di sini, semalam.
Beliau berkata demikian mengulas tindakan Gabungan Teksi Se-Malaysia
yang sebelum ini mendesak Loke agar meletak jawatan kerana didakwa tidak
menghormati teguran perdana menteri tentang permasalahan dihadapi
pemandu teksi.
Pada Ahad lalu, pertemuan antara perdana menteri dan persatuan
pemandu teksi di Langkawi, Kedah, kecoh apabila beberapa ahli persatuan
bertindak keluar majlis kerana tidak bersetuju dengan pandangan Dr
Mahathir Mohamad berhubung perkhidmatan perkongsian kenderaan.
Kira-kira 10 orang pemandu berteriak dan mengeluarkan kata-kata kesat
sambil berjalan keluar ketika perdana menteri berkata beliau akan
mencari jalan terbaik menyelesaikan isu berbangkit.
Mengulas lanjut, Kamarudin berkata keputusan yang dibuat secara
bersama itu bertujuan memastikan tidak ada pihak mendapat kelebihan atau
kemudahan seperti lesen memandu, syarat dan insuran kereta.
“Malah kita telah meringankan tanggungan pemandu teksi dengan
menetapkan teksi yang berusia lebih 3 tahun kini hanya perlu diperiksa
sekali setahun berbanding dahulu setiap 6 bulan,” katanya.
Kamarudin yang juga merupakan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak berkata,
Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah mempunyai perancangan bagi
membantu pemandu teksi dari segi penggunaan aplikasi “e-panggilan”.
“Langkah ini supaya mereka juga dapat memberikan khidmat ‘e-hailing’, bukan sahaja pemandu e-hailing, tetapi juga pemandu teksi.
“Ini antara usaha yang telah dilakukan untuk memastikan perkhidmatan
e-hailing dan juga teksi mendapat kedudukan sama supaya mata pencarian
pemandu teksi tidak terjejas,” katanya.
No comments:
Post a Comment