ALOR
SETAR: Kerajaan negeri sedia meminda Undang-undang Tubuh Kerajaan Kedah
bagi membolehkan tempoh perkhidmatan jawatan menteri besar dihadkan
kepada 2 penggal.
Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata pelaksanaannya akan
dibincangkan dalam mesyuarat exco kerajaan negeri bagi mereformasikan
sistem politik.
“Sebenarnya, perkara ini telah dibincang sewaktu rangka manifesto
Pakatan Harapan (PH) sebelum pilihan raya, jadi ia bukan perkara yang
baharu. Kami alu-alukan cadangan tersebut kerana boleh beri peluang
kepada orang baharu dengan idea yang lebih segar,” katanya selepas
merasmikan persidangan perwakilan PPBM Jerlun hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad
ketika membentangkan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 di
Dewan Rakyat berhubung cadangan mengehadkan tempoh perkhidmatan perdana
menteri, menteri besar dan ketua menteri selama 2 penggal.
Mukhriz berharap setiap pertukaran di kalangan pemimpin tertinggi
dalam kerajaan tidak akan memberi kesan kepada dasar sedia ada kerana ia
merugikan masa dan sumber.
“Saya harap ada kesinambungan kalau berlaku pertukaran. Jangan kerana
hanya tukar menteri besar, dasar pun sekali bertukar dan berubah kerana
itu tidak sepatutnya berlaku kerana dasar dibuat bukan untuk tempoh 3, 4
tahun tetapi 10, 20, 30 tahun jadi akan rugi masa,” katanya.
Sementara itu, beliau menafikan khabar angin berhubung pembatalan
pembinaan Hospital Pendang, sebaliknya memaklumkan kerajaan persekutuan
bersedia untuk meneruskan pembinaan hospital terbabit walaupun berdepan
kekangan kewangan.
Ditanya mengenai isu kereta rasmi menteri besar yang baharu yang
viral di laman sosial baru-baru ini, Mukhriz berkata beliau membuat
keputusan untuk melupuskan beberapa kereta lama yang dimiliki di bawah
nama pejabat menteri besar.
“Banyak kenderaan yang lama-lama disimpan, duduk sahaja tak buat apa
dan banyak yang rosak tak boleh pakai jadi saya buat keputusan mana-mana
kereta yang terlampau lama kita lupuskan dan ganti dengan sebuah kereta
baharu jenama asing yang dipasang di Malaysia.
“Kita gantikan dengan kereta hybrid maksudnya yang jenis bateri harga
tidak terlalu mahal dan saya fikir ini cara kita buktikan kepada rakyat
bahawa kerajaan prihatin soal alam sekitar. Saya lupuskan 2 biji kereta
untuk gantikan dengan kereta ini jadi tak adalah belanja banyak
sangat,” katanya
FMT
No comments:
Post a Comment