Thursday, October 25, 2018

Langsung: Hari pendakwaan Najib, Irwan, Hasanah

Wartawan Malaysiakini  | 
   
LANGSUNG | Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini kembali ke mahkamah dan akan didakwa bersama beka ketua perbendaharaan Tan Sri Irwan Serigar Abdullah.

Kedua-dua mereka dijangka didakwa berhubung bayaran 1MDB kepada firma pelaburan Abu Dhabi-based International Petroleum Investment Company (IPIC) yang dikatakan mempunyai kaitan dengan dana persaraan dan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Sementara itu, bekas ketua pengarah Pertubuhan Perisikan Luar Malaysia (MEIO) Datuk Hasanah Abdul Hamid dibawa ke mahkamah hari ini bagi berdepan tuduhan pecah amanah.
Malaysiakini melaporkan secara langsung dari kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

LAPORAN LANGSUNG
9.35am: Anggota Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman tiba bersendirian. 
Ketika disapa wartawan, Tajuddin berkata beliau hadir untuk memberi sokongan moral kepada kawannya.

"Saya hadir sendiri. Bekas orang atasan saya, kawan saya. Jika kawan anda ada masalah, apa yang anda akan buat? Saya tak pasti apa budaya orang lain, tapi budaya saya seperti itu. Kita hargai persahabatan. Kita perlu tunjuk simpati dalam apa jua keadaan," katanya.

9.20am: Shafee memohon sidang mahkamah ditangguhkan 30 minit untuk membolehkan beliau mengkaji pertuduhan sebelum memberi nasihat kepada anak guamnya.
Shafee menjelaskan bahawa beliau hanya diberikan salinan pertuduhan pada 8.55 pagi ini walaupun sudah memohon sejak semalam.

"Keenam-enam kertas pertuduhan sepintas lalu ditunjukkan kepada anak guam saya Najib semasa disoal siasat di SPRM semalam.

"Saya hairan kenapa boleh ditunjukkan tapi tak boleh diberi senaskhah (kepada pasukan peguam bela)," kata Shafee.
Ketua pendakwaan, Datuk Seri Gopal Sri Ram tidak membantah.
Hakim Mahkamah Sesyen Azman Ahmad membenarkan sidang ditangguhkan.

9.18am: Mahkamah mula bersidang.
9.10am: Zahid dan anak Najib, Ashman masuk ke mahkamah dan mengambil tempat di galeri awam.
Ashman memakai sut berwarna hitam dan dilihat tenang.
9.01am: Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tiba di mahkamah menaiki Vellfire hitam, lengkap berkemeja biru dan sut biru gelap.
Bekas timbalan perdana itu yang dilihat hadir bersendirian sempat  tersenyum dan melambai kepada wartawan.

Menjawab solaan wartawan yang bertanyakan adakah dia datang untuk memberi sokongan kepada Najib, Zahid menjawab: “Sudah tentu. Saya datang untuk memberikan sokongan moral.”
8.37am: Bekas ketua pengarah MEIO, Datuk Hasanah Abdul hamid tiba dan dibawa ke mahkamah melalui pintu masuk lain daripada yang dilalui Najib dan Irwan.

8.22am: Najib tiba di pekarangan mahkamah menaiki kereta Proton Perdana TN50 dengan memakai sut kelabu. Beliau sempat senyum dan melambai kepada media yang menunggu tanpa sebarang pertukaran kata.
8.15am: Irwan tiba dengan memakai sut hitam.
Beliau dibawa ke mahkamah dari lokap SPRM dengan menggunakan van Hyundai Starex hitam.
Sementara itu, Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Lokman Noor Adam dan kira-kira 10 yang lain dilihat di lobi mahkamah.

Terdahulu, beliau memaklumkan melalui mesej teks bahawa beliau tidak menjangkakan ramai penyokong hadir ini kerana sudah mengadakan himpunan semalam.
7.55am: Najib, Irwan, and Hasanah dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen yang sama.
Sementara itu, tidak seperti pendakwaan Najib sebelum ini, tiada penyokong bekas perdana menteri itu dilihat di mahkamah setakat ini.
Kira-kira 20 polis ditempatkan di bahagian pekarangan mahkamah, sementara wartawan berbaris sejak awal pagi tadi untuk masuk ke mahkamah.

Pasukan peguam Najib diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, sementara pasukan peguam Irwan dibarisi oleh K Kumaraendran, Dev Kumaraendran, Lavinia Kumaraendran, Geethan Ram Vincent dan Revin Kumar.
Pasukan peguam Hasanah pula terdiri daripada Shaharudin Ali, Mohd Khairul Azam and Imran Khairi Osman.

Pihak media masih beratur di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi mendapatkan pas. Petugas media dibenarkan masuk melalui pagar sejak pukul 6.50 pagi.
7.50am: Hari ini merupakan kali keempat Najib tampil di mahkamah selepas dikenakan 32 pertuduhan sebelum ini.
Najib semalam dibenarkan berada di rumahnya sementara Irwan ditahan di lokap SPRM.

Pertuduhan kedua-dua mereka dijangka berhubung urusan 1MDB dengan firma pelaburan IPIC, terutamanya bayaran yang dibuat 1MDB pada 2017 berjumlah AS$1.2 bilion.

Ia selepas IPIC menarik diri daripada perjanjian pada 2015 untuk menjamin 1MDB yang ketika itu menghadapi kesukaran membayar pinjaman bank.
Penyiasat sebelum ini dikatakan meneliti bagaimana pentadbiran kerajaan yang ketika itu di bawah Najib membuat bayaran berkenaan menggunakan duit cukai tanpa kebenaran kabinet.
Sementara itu, Hasanah pula dijangka didakwa berhubung AS$12 juta dana kerajaan.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan beberapa pegawai risikan yang dikaitkan dengan jabatan yang diterajui Hasanah dikatakan menerima AS$12 juta daripada sumber asing melalui negara Timur Tengah menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Mereka didakwa menyalahgunakan kuasa untuk membawa masuk wang tunai ke Malaysia melalui lapangan terbang.

No comments:

Post a Comment