Saifuddin nafi Hishammuddin bantu pulih hubungan Malaysia-Saudi
40
7

KUANTAN: Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah menafikan laporan yang
menyatakan Putrajaya ada meminta bantuan bekas menteri tugas-tugas khas
Datuk Seri Hishammuddin Hussein untuk membantu memulihkan hubungan
diplomatik Malaysia dengan Arab Saudi.
Menurutnya, kesahihan berita di portal berita berkenaan diragui
berikutan hanya memetik “sumber dari Putrajaya” tanpa diketahui siapa
dan kebenarannya.
“Saya tidak ada pertemuan dengan beliau dan Wisma Putra
tidak pernah minta bantuan daripada beliau dari segi hubungan antara
Malaysia dan Arab Saudi.
“Apa yang berlaku ialah perbincangan antara saya dan duta Arab Saudi
ke Malaysia kira-kira sebulan selepas dilantik sebagai menteri luar yang
telah menerangkan tindakan menarik kembali tentera Malaysia dalam
peperangan pakatan negara Arab pimpinan Arab Saudi terhadap Yaman,”
katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Forum
Pemerkasaan Pendidikan Daerah Kuantan di Kolej Universiti Widad hari
ini.
Menurutnya pada pertemuan itu kerajaan Malaysia turut menerangkan
sebab projek Pusat Keamanan Antabangsa Raja Salman (KSCIP) tidak
diteruskan dan ini diterima baik oleh duta berkenaan.
“Kita menerima maklumbalas baik daripada kerajaan Arab Saudi malah
layanan istimewa kepada jemaah haji pada tahun ini turut membuktikan
hubungan baik Malaysia dan Arab Saudi masih kekal walaupun beberapa
perkara atau persetujuan yang dilakukan kerajaan terdahulu telah ditarik
semula,” katanya.
Dalam perkembangan berasingan, Saifuddin berkata bantuan kewangan dan
barangan keperluan bernilai RM1 juta kepada mangsa gempa bumi dan
tsunami di Sulawesi, Indonesia sejak 2 hari lalu diterima baik oleh
kerajaan Indonesia.
“Mereka terbuka menerima kehadiran beberapa pertubuhan bantuan dari
Malaysia seperti Global Peace Mission Malaysia dan Mercy Malaysia yang
telah berada di sana lebih awal (sejurus bencana).
“Malaysia juga menghantar bantuan melalui Asean Humanitarian
Assistance (AHA) yang berpangkalan di Subang Jaya di mana barangan telah
dihantar sejak beberapa hari lalu.
“Kita akan terus memberi bantuan dari semasa ke semasa mengikut
keperluan mangsa di sana. Kita juga berharap mereka kembali bersemangat
untuk meneruskan kehidupan selepas ditimpa bencana itu,” katanya.
FMT
No comments:
Post a Comment