Bintang Hollywood, Scarlett Johansson dilaporkan menolak dana yang
ingin disalurkan tokoh berpengaruh di Arab Saudi, Mohammed Salman untuk
projek filem terbarunya.
Memetik laporan Middle East Monitor, Scarlett dijangka
menjayakan kisah biopik wartawan yang pernah memenangi Anugerah
Pulitzer, Lynsey Addario, arahan Ridley Scott.
Pelakon itu memberi persetujuan awal untuk membawa watak berkenaan
tetapi menolaknya selepas mengetahui Mohammed antara seorang daripada
pemberi dana berkenaan.
Penolakan Scarlett didedahkan dalam satu wawancara yang berlangsung antara Lynsey dengan Nicholas Kristof dari New York Times.
Lynsey memberitahu Kristof bahawa Scarlett tidak mahu mempunyai
kaitan dengan Mohammed yang lebih dikenali dengan gelaran MBS sebaik
menghidu pembabitannya dalam projek terbabit.
“Scarlett menegaskan dia tidak sama sekali ingin turut serta. Lelaki
itu 'menyebabkan' perang di Yaman selain membuatkan wanita dipenjara.
“Beliau menyatakan hasrat untuk menjadi seorang daripada pembiaya
sebelum berlakunya pembunuhan kejam ke atas wartawan Jamal Khashoggi,”
kata Lynsey dalam sesi temubual dengan Kristof.
Kali terakhir Khashoggi dilihat sebelum meninggal dunia adalah pada 2
Oktober lalu apabila beliau pergi ke pejabat konsulat Saudi di Istanbul
bagi mengambil dokumen berkaitan perkahwinannya.
Pihak berkuasa Turki mendakwa pembunuhan Khashoggi dirancang oleh
pegawai Saudi sebelum dia masuk ke pejabat konsulat untuk dibunuh dan
mayatnya dikerat-kerat serta wajahnya dicacatkan.
Pihak berkuasa Saudi pada awalnya menafikan tahu mengenai kematian
Khashoggi tetapi kemudian mendakwa beliau terbunuh dalam pergaduhan di
pejabat konsulat itu.
Kejadian itu mencetuskan kritikan pihak antarabangsa dan krisis diplomatik terhadap negara itu.
Sementara itu, Lynsey turut mengulas pendapatnya terhadap kemungkinan
mengapa Mohamed ingin membabitkan diri dalam projek berkenaan.
“Saya tidak pernah berjumpa dengannya. Tetapi firasat saya menyatakan
mungkin filem biopik itu mempunyai pesona kempen yang hebat.
“Dan fakta MBS mahu Barat melihat beliau mempunyai minat terhadap
Hollywood. Adakah saya mahu beliau mempunyai kaitan dengan filem ini?
Sudah tentu tidak. Dan nasib baik beliau tidak terbabit,” katanya.
Pendirian Scarlett menentang Mohamed mungkin memalukan beberapa selebriti yang lain.
Mohamed bercita-cita untuk menjadi individu yang memainkan peranan
utama di Hollywood sebagai sebahagian daripada kempen untuk mendapatkan
sokongan kepadanya.
Pada April lalu, Mohamed juga dilaporkan berkunjung ke Hollywood
untuk berjumpa bintang seperti Dwayne Johnson dan Oprah Winfrey dalam
satu majlis makan malam tertutup di Murdock, AS
Malaysiakini
No comments:
Post a Comment