KUALA
LUMPUR: Pakar terorisme mengingatkan semua
pihak bertindak secara
rasional dan mengawal emosi
dalam mendepani isu rusuhan di kuil Subang
Jaya.
Ahli panel pakar deradikalisasi Kementerian Dalam Negeri, Dr Mohd
Mizan Mohammad Aslam turut mengingatkan pemimpin supaya tidak menjadi
penghasut sehingga menyemarakkan lagi api perkauman.

“Semua pihak mestilah melihat isu ini dengan rasional dan mengawal emosi sebaiknya.
“Pemimpin adalah keutamaan dan teladan, mereka tidak boleh
mengeluarkan kenyataan provokasi atau yang berunsur hasutan sehingga
menjadi pemangkin kepada konflik perkauman, sebaliknya mestilah menjadi
‘pil penenang’ meredakan suasana panas,” katanya kepada FMT.
Sebelum ini beberapa pemimpin dikecam susulan kekecohan yang tercetus di kuil Sri Maha Mariamman.
Antaranya, Adun Kota Kemuning V Gabanatirau yang mendakwa “Muslim
group” atau kumpulan orang Islam menyerang kuil itu pada awal pagi 26
November.
Exco kerajaan Selangor itu kemudian menyatakan sanggup meminta maaf
atas kenyataannya jika itu yang diperlukan untuk menenangkan semua
pihak.
Antara pemimpin lain yang turut dikecam, termasuklah Menteri di
Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy yang menyalahkan pihak polis
susulan berlakunya kekecohan itu.
Mengulas lanjut, Mizan menggesa kerajaan mengkaji semula sistem pendidikan di sekolah dalam pembentukan perpaduan kaum.
“Tangkapan mesti dilakukan, pencetus dan penjenayah perlu dihadapkan
ke mahkamah. Kita telah hilang rasional kerana kununnya berdiri atas
prinsip hak asasi dan demokrasi.
“Telah sampai masanya kajian yang lebih spesifik dan semakan semula
sistem sekolah dan satu sistem diwujudkan. Keluarga sebagai sel terkecil
dan sekolah sebagai asas pembentukan keharmonian kaum harus
diperbetulkan. Kita sebenarnya terpisah dalam kesatuan.”
Tak perlu bantuan tentera
Mizan turut menjelaskan kekecohan yang berlaku di kuil Subang Jaya
itu masih mampu dikawal pihak polis tanpa bantuan pihak tentera.
“Saya berpandangan tidak perlu melibatkan tentera lagi buat masa ini,
kerana pendekatan polis dan tentera sangat berbeza, selagi pihak polis
boleh mengawal keadaan maka lebih baik dikekalkan.
“Di kebanyakan kawasan konflik, apabila tentera mengambil peranan,
natijahnya amat berbeza seperti apa yang berlaku di Mindanao dan selatan
Thailand termasuk Indonesia.
“Saya merasakan konflik ini boleh diselesaikan tanpa melibatkan
operasi ketenteraan, tindakan pantas dan cekap oleh pihak polis terbukti
berjaya mengawal keadaan, malah jika tidak saya merasakan ada kematian
di dalam rusuhan itu,” katanya.
Sebelum ini, bekas ketua polis negara, Tan Sri Musa Hassan, berkata
untuk mengelakkan rusuhan yang sudah berlarutan daripada menjadi tidak
terkawal, Majlis Keselamatan Negara harus mengisytiharkan perintah
berkurung.
Tujuannya bagi memastikan ketenteraman awam kembali wujud di kawasan
itu kerana langkah itu berkesan dalam menangani kejadian tersebut
No comments:
Post a Comment