
PETALING JAYA: Menteri Besar Perak,
Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu hari ini berkata, beliau yang membatalkan
pelantikan taikun, Koon Yew Yin sebagai penasihat ekonomi negeri atas
dakwaannya darjah kebesaran Perak dijual kepada ahli perniagaan.
Beliau dalam kenyataan hari ini berkata, Sultan Nazrin Shah tidak terbabit langsung dalam keputusan itu.
“Untuk makluman, keputusan itu dibuat susulan tindakan Koon membuat
dakwaan yang sangat serius terhadap Almarhum Sultan Azlan Shah berhubung
amalan rasuah dalam pengurniaan darjah kebesaran negeri Perak di awal
pemerintahan Almarhum sebagai Sultan Perak.
“Saya mendapati tindakan Koon mencemar nama baik Almarhum Sultan
Azlan dan institusi kesultanan Perak tidak dapat diterima dan
dipertahankan.
“Ini diburukkan lagi dengan tindakan Koon hari ini memuat naik status
di laman sosial yang berbentuk andaian tanpa sebarang asas bahawa
Sultan Nazrin Shah cuba campur tangan dalam pelantikan beliau sebagai
ahli Majlis Penasihat Ekonomi Negeri Perak.”
Koon, 85, yang mengasaskan syarikat pembinaan IJM Corporation Bhd,
mendakwa pelantikannya sebagai penasihat ekonomi negeri dihentikan atas
arahan istana Perak, selepas dakwaannya darjah kebesaran Datuk diberikan
dengan bayaran tertentu.
“Sultan Perak tiada hak di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk
menghalang pelantikan saya dan baginda tidak boleh mengarahkan menteri
besar Perak dan pemimpin politik kita cara melakukan tugas mereka serta
apa yang perlu dilakukan kerana saya layak untuk membantu memperbaiki
ekonomi Perak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, Ahli Dewan Negara Perak, Datuk Seri Mohd Annuar Zaini
dilaporkan berkata, Sultan Nazrin tidak pernah campur tangan dalam
sebarang pelantikan berkaitan pentadbiran negeri.
Sementara itu, Exco Perak, Asmuni Awi dan Abdul Aziz Bari menafikan
mereka tahu mengenai dakwaan campur tangan dalam pelantikan Koon kerana
ia tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat exco.
Asmuni berkata, Koon sudah dilantik sebagai penasihat ekonomi Perak Julai lalu.
“Exco meluluskan pelantikannya sebagai salah seorang ahli panel penasihat beberapa bulan lalu,” katanya kepada FMT hari ini.
Utusan Online pada 26 Julai lalu melaporkan Koon ialah seorang
daripada 7 individu yang dilantik menganggotai Majlis Penasihat Ekonomi
Negeri Perak.
Bagaimanapun, Koon mempersoalkan mengapa beliau tidak menerima surat
pelantikan mahupun dipanggil untuk menghadiri mesyuarat Majlis Penasihat
Ekonomi Negeri Perak.
“Setiausaha MB hubungi saya untuk mendapatkan alamat supaya beliau boleh menghantar surat pelantikan saya.
“Sehingga kini, saya tidak menerima surat pelantikan itu. Jika saya
dilantik, kenapa saya tidak diminta menghadiri sebarang mesyuarat?”
soalnya ketika dihubungi FMT.
Aziz pula berkata, beliau tidak pernah menemui Koon secara peribadi
sehingga hari ini dan tidak pasti jika beliau dilantik sebagai penasihat
ekonomi negeri.
“Saya tahu beliau ialah penyokong Pakatan Harapan, tetapi selain itu, saya tidak tahu.”
FMT
No comments:
Post a Comment