Tetak isteri hingga mati, cebisan jari ditemui di dapur
Wartawan Sinar Harian
28 Oktober 2018
Mayat mangsa berada di ruang tamu rumah dalam keadaan terlentang dan lengkap berpakaian. - Foto PDRM
(Ubah saiz teks)
KINABATANGAN - Sadis, bukan hanya ditetak di muka dan kepala, malah
jari jemari wanita ini turut dipotong lalu ditinggalkan di dapur.
Itu merupakan tindakan kejam seorang suami yang dipercayai bertindak
menetak dan membunuh isterinya dalam kejadian di Ladang Pintasan,
Kinabatangan semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi, mangsa berusia 27 tahun ditemui
dengan kesan tetakan di muka sebelah kiri, di bahagian atas kepala dan
di bahagian belakang kepala.
Memetik laporan Astro Awani, Ketua Polis Daerah Kinabatangan
Superintendan A. Sahak Rahmat berkata, pihaknya hanya menerima laporan
pada jam 8.45 malam, semalam daripada orang awam memaklumkan bahawa satu
kejadian pembunuhan berlaku di lokasi tersebut.
"Siasatan awal mendapati, mangsa baru sahaja bekerja di ladang itu
lebih kurang sebulan sebagai pemungut biji sawit manakala suaminya tidak
bekerja. Kedua-dua mereka tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan
diri.
"Hasil siasatan di tempat kejadian mendapati mayat mangsa berada di
ruang tamu rumah dalam keadaan terlentang dan lengkap berpakaian,"
katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan pada badan wanita itu mendapati terdapat
kecederaan kesan tetakan di muka sebelah kiri, di bahagian atas kepala
dan di bahagian belakang kepala.
"Pergelangan tangan kanan mangsa ditetak separuh putus manakala tiga jari tangan kanannya putus.
"Pemeriksaan di dapur rumah menemui cebisan jari-jari mangsa yang
putus. Senjata yang digunakan dipercayai adalah parang milik suami.
"Pada masa kejadian jiran kiri dan kanan rumah berada di rumah namun
tidak mendengar sebarang pergaduhan ataupun bunyi bising dari rumah
itu," katanya.
Menurut A. Sahak, jiran-jiran wanita tersebut hanya melihat suspek
berada di luar rumah sambil memegang sebilah parang di tangannya pada
jam lebih kurang 8 malam.
"Suspek kemudian melarikan diri ke arah sungai dan dikejar oleh
beberapa anggota pengawal keselamatan ladang namun tidak berjaya
ditangkap.
"Motif kejadian setakat ini dipercayai berpunca akibat perselisihan
faham diantara mangsa dan suspek semasa keduanya mereka berada di dapur
berikutan penemuan periuk yang mengandungi sup ayam dan satu pinggan
berisi nasi ditemui bertaburan di lantai dapur dipercayai dibaling.
"Mayat sudah dihantar ke Hospital Kinabatangan untuk dibedah siasat dan
usaha mengesan suspek, 30an, masih diteruskan," katanya.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan
No comments:
Post a Comment