
PETALING JAYA: Empat lelaki termasuk seorang pegawai keselamatan
syarikat pemaju One City Development Sdn Bhd yang terlibat dalam
kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, dihadapkan ke
Mahkamah Majistret, hari ini atas pertuduhan merusuh menggunakan senjata
berbahaya.
Keempat-empat tertuduh, Muhammad Ridzuan Sekh Ruslan, 26, Irwan
Nordin, 38, Mohd Khairi Abd Rashid, 24, dan Rozaihan Jamaludin, 38,
bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan
dibacakan di hadapan Majistret Majistret Nor Ariffin Hisham.
Mengikut pertuduhan, semua tertuduh didakwa bersama-sama dengan
beberapa orang lagi yang masih bebas didapati berada dalam rusuhan dan
semasa rusuhan itu, yang semuanya memiliki parang, kapak, pisau dan kayu
yang boleh digunakan sebagai senjata untuk menyerang.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di kuil berkenaan antara pukul 2.00 pagi dan 5.00 pagi, 26 November lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang
memperuntukkan hukuman penjara maksimum 5 tahun atau denda atau
kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan semua tertuduh diikat jamin RM10,000
masing-masing dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu
perlu melapor diri sebulan sekali di balai polis berhampiran dan pasport
diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Pendakwaan kes diketui Datuk Salim Hamid dan sebutan semula kes akan diadakan pada 17 Januari 2019.
Difahamkan seorang lagi individu yang sepatutnya dituduh mengikut seksyen sama kini berada di hospital.
Dalam perbicaraaan sama, seorang lelaki T Thinekaran, 34, mengaku
tidak bersalah atas tuduhan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap
seorang individu, Datuk K Tanggeswaran, 23, dengan cara menumbuk mangsa
di bahagian kening sebelah kiri di tepi jalan Lebuhraya
Damansara-Puchong (LDP), USJ, jam 4.30 petang, tarikh sama.
Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan
kecederaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau
denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.
Salim menawarkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan ringan
atas alasan dia mempunyai 2 anak yang perlu ditanggung.
Mahkamah membenarkan Thinekaran diikat jamin RM2,500 dengan seorang
penjamin dan menetapkan 17 Jan depan untuk sebutan semula kes.
Dua lagi tertuduh iaitu, R Pavethren dan Mohd Shamis Samsuri mengaku bersalah atas pertuduhan lain.
Pavethren menghadapi 2 pertuduhan, pertama kerana gagal membawa kad
pengenalan diri bagi kesalahan di bawah Peraturan 7(1A) Peraturan
Pendaftaran Negara 1990 dan pertuduhan kedua kerana melanggar perintah
polis di bawah Seksyen 79 Akta Pengangkutan Jalan 1987 pada 28 November,
berhampiran kuil Subang Jaya.
Ariffin kemudian menjatuhkan hukuman denda RM1,500 bagi kesalahan di
bawah Seksyen 79 sementara RM3,500 kerana gagal membawa kad pengenalan
diri.
Manakala, Shamis pula melakukan kesalahan di bawah Seksyen 151 Kanun
Keseksaan kerana menyertai perhimpunan haram pada 28 November jam 1.15
pagi dan jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 6 bulan
atau denda atau kedua-duanya. Majistret kemudian menjatuhkan hukuman 2
bulan penjara bermula hari ini
No comments:
Post a Comment