PETALING JAYA: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) mendakwa
mereka sekadar “perhiasan” bagi kerajaan terdahulu untuk mengaburi mata
dunia kerana pemimpin Barisan Nasional tidak pernah mengadakan
perbincangan atau bekerjasama dengannya.
Pengerusinya, Tan Sri Razali Ismail mendakwa timbalan perdana menteri
mahupun menteri daripada pentadbiran terdahulu, tidak pernah menemui
suruhanjaya itu untuk membincangkan isu berkaitan hak asasi manusia.
“Saya dah lama jadi pengerusi Suhakam. Selama 3 tahun, kami mahu cuba
berjumpa dengan timbalan perdana menteri, tetapi dalam tempoh itu dia
tidak pernah jumpa kami.
“Sukar nak tengok kalau ada menteri yang sedia untuk
bercakap, dan di negara ini pula apa-apa sahaja perlu datang dari pihak
atasan (kerajaan). Kalau menteri tak boleh jumpa, ketua setiausaha boleh
ganti.
“Jadi, bagaimana kamu boleh mewakili aspirasi dan cuba meningkatkan
kualiti masyarakat, jika kamu tidak melihat kami,” katanya selepas
merasmikan sambutan Hari Hak Asasi Manusia 2018 di Padang Timur hari
ini.
Beliau berkata, keadaan berbeza apabila Pakatan Harapan (PH)
mengambil alih tampuk pemerintahan negara kerana mereka dilihat lebih
terbuka dan sedia berbincang dengan pihaknya.
Katanya, kerajaan PH dilihat lebih bersungguh-sungguh menjaga hak
asasi manusia, walaupun ia menolak Konvensyen Antarabangsa Mengenai
Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).
“Kerajaan dulu banyak protokol. Kerajaan sekarang, mereka cuba nak
bantu, contohnya isu kemiskinan di sekolah, kita kena lihat banyak
aspek. Bahkan mereka juga dah terima pelbagai perkara dalam aspek
kebebasan sivil dan politik.”
Sementara itu, Razali berkata, Suhakam akan terus menasihati kerajaan
untuk meratifikasi baki 6 triti antarabangsa berkaitan hak asasi
manusia, termasuk ICERD.
Katanya, ketidakhadiran Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ke
sambutan hari ini secara tidak langsung sudah membantu pihaknya.
“Sebab beliau tiada di sini, orang ramai tiba-tiba lebih berminat, jadi mereka datang.”
Semalam, Dr Mahathir dilaporkan berkata, beliau tidak akan menghadiri
sambutan Hari Hak Asasi Manusia 2018 hari ini kerana pendirian Suhakam
bertentangan dengan keputusan kerajaan menolak ICERD.
“Saya dah putuskan yang kita (kerajaan) tidak akan menerima ICERD,
tetapi Suhakam mahu menerima ICERD, jadi takkan saya nak pergi?” kata Dr
Mahathir semalam.
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment