
PETALING JAYA: Kerajaan membelanjakan sebanyak RM994.43 juta bagi
membekukan semua kenaikan kadar tol di lebuh raya dalam bandar bermula 1
Januari 2019, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.
Beliau berkata keputusan itu diambil setelah jemaah menteri pada 12
Disember lalu bersetuju untuk membekukan kenaikan kadar tol bagi semua
kelas kenderaan di 21 lebuh raya di seluruh negara walaupun semua tol
terbabit layak dinaikkan pada 2019.
“Ini adalah satu penambahbaikan ketara kepada pengumuman Belanjawan
2019. Pembekuan kenaikan kadar tol di 21 lebuh raya secara komprehensif
di seluruh negara bagi 2019.
“Pembekuan kadar tol bagi bas di 8 lebuh raya berasingan
pada tahun yang sama serta pemansuhan tol motosikal di Jambatan Pulau
Pinang (Jambatan Pertama Pulau Pinang) dan Jambatan Sultan Abdul Halim
Mu’adzam Shah (Jambatan Kedua Pulau Pinang) serta di Lebuhraya Laluan
Kedua di Johor bermula 1 Januari 2019, akan melibatkan kos kerajaan yang
dianggarkan sebanyak RM994.43 juta bagi tahun hadapan.
“Langkah pemansuhan ini dianggarkan memerlukan peruntukan RM20 juta
setahun daripada kerajaan untuk bayaran pampasan mulai 1 Januari 2019,”
katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menambah kerajaan menganggarkan pembekuan kadar tol bagi semua
kelas kenderaan di 21 lebuh raya akan melibatkan kos bayaran pampasan
yang dianggarkan berjumlah RM972.75 juta kepada syarikat konsesi lebuh
raya berkenaan untuk 2019.
Katanya, jemaah menteri bersetuju membekukan kenaikan kadar tol untuk
kenderaan Kelas 5 (bas) dengan anggaran kos RM1.68 Juta di 8 lebuh raya
berasingan.
“Kerajaan sedang mengkaji kaedah terbaik untuk memenuhi janji
manifesto yang terkandung dalam Buku Harapan. Pembekuan ini adalah
sebahagian daripada usaha tersebut,” katanya.
No comments:
Post a Comment