29/12/2018
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum dan memandang
serius mengenai dakwaan layanan jururawat di sebuah hospitalnya seperti
yang disebarkan melalui media sosial, baru-baru ini.
Ia susulan
dakwaan seorang artis tempatan berkaitan layanan yang diberikan
jururawat di sebuah wad Hospital Shah Alam, Selangor (HSAS) terhadap
ibunya.
Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Dr Khalid Ibrahim
berkata, HSAS sudah mengadakan perjumpaan dengan pengadu dan seorang
lagi ahli keluarganya secara tertutup pada jam 10.30 pagi tadi.
Katanya, ia turut disertai wakil pengurusan tertinggi hospital, wad dan pakar perubatan yang terbabit.
“Dalam
pertemuan itu, pihak hospital sudah pun memberikan penjelasan dan
jaminan bahawa siasatan lanjut akan dijalankan untuk mengenal pasti
punca masalah.
“Kita mengambil maklum beberapa perkara yang
dirasakan wajar bagi menambah baik mutu perkhidmatan di hospital,”
katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, pihak Jabatan
Kesihatan Negeri (JKN) Selangor juga ingin mengingatkan masyarakat
bahawa mengambil gambar atau video tanpa kebenaran di premis KKM adalah
dilarang sama sekali.
“Begitu juga dengan kekerasan terhadap
anggota kesihatan, sama ada kekerasan fizikal, lisan ataupun bertulis
(termasuk di media sosial), iaitu selaras dengan Garis Panduan Mencegah
dan Menangani Kekerasan Terhadap Anggota di Fasiliti KKM.
“Ini
terutama memandangkan terdapat pelbagai saluran aduan yang boleh dibuat
secara rasmi, dan ia akan diteliti dengan sewajarnya,” katanya.
Sementara
itu, Dr Khalid berkata, pihak JKN Selangor juga memohon orang ramai
tidak membuat andaian dan spekulasi bagi mengelakkan implikasi negatif
kepada keluarga pesakit dan seterusnya kepada kakitangan hospital.
“Pihak
JKN Selangor dan HSAS akan membuat susulan mengenai perkara ini dengan
pihak pengadu dan jabatan berkaitan bagi mencari penyelesaian terbaik
bagi kesejahteraan pesakit dan warga kerja KKM,” katanya.
Sebelum
ini, artis Linda Rafar melalui media sosialnya meluahkan rasa kecewa
terhadap layanan buruk diberikan sekumpulan jururawat di sebuah hospital
di Shah Alam tempat ibunya, Rasimah Abd Rahman, 73, dirawat.
Linda,
40, atau nama sebenarnya Azlinda Rafar berkata, permintaan untuk
membantu menukar cadar ibunya yang terkena najis tidak diendahkan dari
jam 3 pagi hingga 1.30 petang semalam.
Disebabkan itu, Linda
mengambil keputusan dengan membuat aduan dan berjumpa Pengarah dan
Timbalan Pengarah hospital berkenaan, hari ini.
Status yang dimuat naik Linda di Instagram Story semalam itu tular hingga mendapat pelbagai maklum balas pengikut.
Kebanyakan mereka berkongsi pengalaman dilalui membabitkan jururawat bertugas.
Dalam
masa sama, Linda juga sudah membuat laporan polis di Bukit Aman
berhubung ugutan diterima daripada seorang individu yang ingin meracun
dan membunuh ibunya, jika tidak berhenti daripada menularkan isu
berkenaan
Malaysiakini
No comments:
Post a Comment