Monday, December 31, 2018

Lelaki mabuk ditahan berkelakuan tak senonoh di balai polis

Suspek datang ke balai polis dalam keadaan mabuk 
dipercayai untuk membuat laporan polis.
PARIT: Seorang lelaki ditahan selepas menyimbah air minuman kepada anggota polis serta mengeluarkan kata-kata kesat dan berbaur perkauman di Balai Polis Parit, tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah Supt Mohamad Zainal Abdullah berkata dalam kejadian kira-kira pukul 12.10 tengah malam itu, suspek berumur 37 tahun datang ke balai polis berkenaan dalam keadaan mabuk dipercayai untuk membuat laporan polis.

“Selepas meletakkan kenderaan dipandu jenis Nissan Navara, suspek kemudian keluar dengan keadaan mulut berbau minuman keras yang kuat dan menyatakan duit dalam simpanan sebanyak RM5,000 telah hilang.

Seorang anggota polis meminta suspek mengalihkan keretanya ke kawasan lain kerana mengganggu pandangan di hadapan balai namun lelaki tersebut mengeluarkan kata-kata kesat,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohamad Zainal berkata anggota polis menasihati suspek yang bekerja sebagai kontraktor di sebuah ladang kelapa sawit untuk bersabar dan bercakap dengan sopan.
“Tiba-tiba suspek mencurahkan air minuman yang dipegangnya kepada anggota polis dan cuba membuat provokasi secara fizikal.

Suspek juga meludah di dalam balai sebelum anggota polis menahannya kerana berkelakuan tidak senonoh di balai polis, mabuk dan menghalang penjawat awam menjalankan tugas,” katanya.

Mohamad Zainal berkata suspek yang bertindak agresif semasa ditahan di bawa ke Hospital Changkat Melintang untuk pemeriksaan alkohol dan kini ditahan reman selama 4 hari bermula hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 90 Akta Polis 1967, Seksyen 186 dan 510 Kanun Keseksaan kerana berkelakuan tidak senonoh di balai polis serta sengaja menghalang tugas penjawat awam. FMT

No comments:

Post a Comment