“Melayu perlu lindungi diri sendiri.
“Melayu perlu berdikari, tak boleh bergantung
bantuan kerajaan selamanya.
“Melayu malas.”
Semua ini antara ungkapan manis yang pernah diucapkan
pemimpin-pemimpin tertinggi PPBM. Antaranya, Pengerusi PPBM, Tun Dr
Mahathir Mohamad dan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Mereka sentiasa mempersoalkan kehidupan orang Melayu kononnya kerana
terlalu bergantung harap dengan bantuan kerajaan sehinggakan negara
tidak boleh maju.
Sepatutnya sebelum Dr Mahathir atau mana-mana jua pemimpin PPBM ingin
memberi nasihat kepada rakyat untuk tidak menjadi Melayu yang malas,
seeloknya berikan dahulu kuliah percuma itu kepada ahli-ahli Melayu
dalam PPBM.
Belum pun ada perkara yang dilakukan boleh dibanggakan, tetapi sudah berani meminta macam-macam dari kerajaan.
Baru-baru ini, Naib Presiden PPBM, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman
sendiri menggesa kerajaan memberikan jawatan serta kontrak kepada
ketua-ketua bahagian dan cawangan PPBM, termasuk wakil yang kalah di
Kelantan dan Terengganu diberikan faedah seperti jawatan dan kontrak.
Apabila ahli PPBM sendiri lantang meminta tanpa rasa malu, ini jelas
menggambarkan prinsip perjuangan mereka bertuhankan pangkat dan wang
semata-mata, bukannya untuk berkhidmat kepada negara mahupun rakyat.
Jadi, inikah yang dinamakan Malaysia Baru?
Desakan ini sama sekali tidak mengejutkan mana-mana pihak kerana
perkara ini sudah dijangkakan apabila PPBM berada di blok kerajaan.
Tetapi, hairannya bukankah PPBM dikatakan mempunyai perjuangan yang
ikhlas dan suci? Jadi, inilah perjuangan suci yang dibangga-banggakan
PPBM itu?
Ini bukan perjuangan suci, tetapi ini perjuangan lanun secara
terang-terangan yang ingin memusnahkan negara. Dahulunya sibuk menghina,
mencaci dan pelbagai lagi tuduhan berbakul-bakul terhadap ahli Umno
kerana makan rasuah, perompak dan sebagainya, tetapi sekarang apa
bezanya? Tidak ubah seperti meludah ke langit jatuh ke muka sendiri.
Betullah kata pepatah Melayu “malas”, satu jari telunjuk menunjuk
orang lain, tetapi dalam tidak sedar 4 jari lagi menuding ke diri
sendiri.
Walaupun Ketua Pemuda PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyangkal
pandangan ini, tetapi tidak boleh dinafikan lagi rata-rata perwakilan
yang berada dalam perhimpunan agung tahunan parti itu bersorak meraikan
pandangan naib presiden mereka.
Namun, yang menarik perhatian saya adalah kenyataan Syed Saddiq
mengatakan ada perwakilan berani menyebut nama menteri yang menjanjikan
kontrak kepada mereka.
Persoalannya, siapakah menteri yang dimaksudkan Syed Saddiq itu?
Adakah ini merupakan rancangan sebelum tertubuhnya Pakatan Harapan (PH)?
Jika perkara ini benar-benar berlaku, nampaknya perjuangan untuk membela nasib rakyat hanya retorik kerajaan hari ini sahaja.
Dhia Hani ialah penyelidik Persatuan Pemikir Muda Johor.
No comments:
Post a Comment