Tuesday, February 19, 2019

Ketua pemuda PAS lemah mantiq

Edry Faizal Edry Yusof  |   Malaysiakini
 19 Feb 2019
   
ULASAN | Tindakan Ketua Pemuda PAS Muhammad Khalil Abdul Hadi menyuruh Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng bertanya sendiri kepada Dr Mahathir Mohamad bersifat keanak-anakan dan menunjukkan kelemahan mantiq.

Ia susulan permintaan Lim agar Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan mengemukakan bukti wujudnya dua parti komponen Pakatan Harapan (PH) yang akan membentangkan undi tidak percaya kepada perdana menteri.

Sebagai sebuah parti yang sering kali mendakwa mereka paling Islam berbanding orang Islam yang lain, adalah amat membingungkan apabila ketua pemudanya sendiri gagal memahami dan mengamalkan kaedah al-bayyinah ‘ala al-mudda’i - yakni pembuktikan adalah ke atas orang yang membuat dakwaan.


Selepas insiden cakap berbelit Anggota Parlimen Bachok Nik Abduh Nik Abdul Aziz yang sekejap menafikan rakaman audio mengenai penerimaan wang daripada Umno dan sekejap mengakui berbohong atas permintaan parti, PAS sepatutnya bermuhasabah kembali dan berhenti mengeluarkan kenyataan yang bukan-bukan kepada umum.

Ini kerana tindakan sebuah organisasi menggunakan nama Islam mengeluarkan kenyataan-kenyataan cetek ilmu seperti mengelak mengemukakan bukti atau berbohong kerana wang mencemarkan nama Islam itu sendiri.

Hanya kerana terdapat perkataan ‘Islam’ pada nama parti, tidak bermakna segala kata-kata lagha dan dusta boleh dihalalkan atas nama Tuhan dan Agama.
Berbanding menyuruh ketua pemudanya membuat kenyataan berunsur komedi, Takiyuddin sepatutnya mendedahkan bukti kepada dakwaannya selepas dicabar oleh Lim.

Atau adakah itu satu lagi pembohongan dengan restu presiden parti yang dihalalkan atas nama strategi, seperti dakwaan Takiyuddin ketika mempertahankan Nik Abduh?
Pantun Melayu ada menyebut:
Siakap senohong gelama ikan duri,
Bercakap bohong lama-lama mencuri.
Adakah disebabkan itu PAS mudah mesra dengan Umno dan Najib Razak?

EDRY FAIZAL EDRY YUSOF adalah adun Dusun Tua dan anggota jawatankuasa pemuda DAP.
Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

No comments:

Post a Comment