Wednesday, January 12, 2022

Lelaki 'hilang' dalam hutan selepas terkejut lihat polis

Nor Amalina Alias

Seramai 44 anggota pasukan mencari lelaki yang dipercayai tersesat di dalam hutan selepas terkejut melihat rondaan polis di Kampung Nelayan, Tok Bali, Pasir Puteh. FOTO IHSAN PEMBACA
Seramai 44 anggota pasukan mencari lelaki yang dipercayai tersesat di dalam hutan selepas terkejut melihat rondaan polis di Kampung Nelayan, Tok Bali, Pasir Puteh. FOTO IHSAN PEMBACA

Pasir Puteh: Akibat terkejut melihat rondaan polis, lelaki dipercayai sesat selepas bertindak melarikan diri ke kawasan hutan di Kampung Nelayan, Tok Bali, di sini, kelmarin

Dalam kejadian pada 12 tengah hari, lelaki berusia 22 tahun terbabit dipercayai mahu membuang sampah dan berlari masuk ke kawasan hutan tebal sebaik melihat pihak polis.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Ediansha Endal berkata, mangsa dikatakan memasuki kawasan hutan berhampiran tempat pembuangan sampah, namun masih tidak pulang ke rumah.

Katanya, bimbang keselamatan lelaki itu, ahli keluarganya membuat laporan di Balai Polis Cherang Ruku, semalam.

"Kita sudah mengarahkan pusat operasi mencari pada 9.30 pagi tadi dengan kekuatan 44 anggota pelbagai agensi dengan fokus utama pencarian adalah di kawasan hutan itu.

"Hasil maklumat awal, lelaki itu dipercayai takut ketika terserempak dengan polis dan tidak dijumpai sehingga kini.

"Setakat dimaklumkan, mangsa tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan dan kita percaya dia mungkin tersesat," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) turut membabitkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Puteh, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

"Operasi SAR dipecahkan kepada tiga kumpulan yang bertindak mencari mengikut grid pencarian masing-masing," katanya.

Sementara itu, Ketua BBP Pasir Puteh Azhar Elmi Mustofar berkata, pencarian mangsa dibantu Unit Dron Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

"Kita gunakan kaedah pencarian di permukaan dan sehingga kini pencarian membabitkan keluasan 1.5 kilometer persegi," katanya

No comments:

Post a Comment