Friday, March 4, 2022

Ahmad Idham dan Eizlan ditamatkan perkhidmatan 24 jam

 

mk-logo
SENI & HIBURAN

Tidak sampai lima bulan selepas dilantik ke Kementerian Luar, dua tokoh perfileman negara, Ahmad Idham Ahmad Nazri dan Eizlan Yusof, tidak lagi berkhidmat di Wisma Putra.

Memetik pengesahan daripada Menteri Luar, Saifuddin Abdullah, Sinar Daily melaporkan penamatan khidmat Ahmad Idham dan Eizlan itu dibuat melalui notis 24 jam.

Untuk rekod Ahmad Idham sebelum ini dilantik sebagai Setiausaha Kebudayaan, manakala Eizlan diberikan tugas sebagai Perunding Kreatif di Kementerian Luar.

Pelantikan mereka berkuat kuasa pada 1 Nov tahun lalu. Ahmad Idham merupakan bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) manakala Eizlan dilantik menjadi pengerusi Jawatankuasa Skim Wajib Tayang Finas.

Kedua-dua mereka dilantik ke jawatan tersebut semasa Saifuddin menjadi Menteri Komunikasi dan Multimedia.

Bagaimanapun, menurut laporan berkenaan, Saifuddin enggan mengulas secara terperinci mengenai pemecatan tersebut.

“Saya tiada sebarang komen mengenai perkara ini,” katanya dipetik portal tersebut.

Ahmad Idham meletakkan jawatannya sebagai CEO tidak lama selepas Saifuddin dipindahkan ke Wisma Putra oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Saifuddin sebelum ini dilaporkan berkata, Ahmad Idham dilantik kerana mempunyai pengalaman luas selama 25 tahun dalam industri kreatif, termasuk memenangi anugerah antarabangsa di Pesta Filem Chunsa Korea pada 2018.

Eizlan pula, katanya, seorang yang tidak asing dalam industri dan pernah berkhidmat dalam pelbagai kapasiti serta memenangi pelbagai anugerah di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Malaysiakini

No comments:

Post a Comment