KUALA LUMPUR - Pihak polis yang sudah mengesahkan ketulenan sebuah rakaman video perlakuan seksual yang dikaitkan dengan seorang pemimpin pembangkang perlu berterus-terang dan mendedahkan identiti orang terlibat.
Presiden Pertubuhan Pemikir Profesional Melayu Malaysia (PPPMM), Datuk Dr Kamarudin Kachar (gambar) berkata, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar mengesahkan ketulenan video tersebut menerusi siasatan pakar-pakar namun enggan mendedahkan identiti pelaku dalam video itu.
“Persoalan siapakah pemilik identiti lelaki yang dalam video berkenaan hanya boleh dirungkai polis memandangkan polis terlibat dalam siasatan pita video tersebut dari A hingga Z.
“Kita sebagai orang awam meminta supaya polis berbuat demikian bagi mengakhiri segala kekalutan yang berlaku akibat terlalu banyak sangat spekulasi yang timbul disebabkan orang masih berteka-teki siapa sebenarnya lelaki berkenaan,” katanya, semalam.
Beliau mengulas mengenai pengumuman Ismail bahawa rakaman video seks, yang didedahkan oleh “Datuk T” kepada sekumpulan editor media awal minggu lalu, bukan sesuatu yang direka atau dipalsukan.
Menjawab mengenai terdapat cadangan bagi meminta isteri pemimpin pembangkang yang dituduh melakukan seks dalam video tersebut supaya menonton rakaman itu, bagi mengesahkan sama ada benar suaminya atau pun tidak, Kamarudin berkata perkara itu tertakluk kepada arahan polis.
“Kita serahkan kepada pihak polis, biarlah mereka yang menjalankan kerja mereka sama ada mahu meminta beliau untuk tonton atau tidak,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Umum Badan Bertindak Perpaduan Melayu, Osman Abu Bakar yang turut menyokong supaya polis mendedahkan identiti pelaku dalam video itu dan mahu pemimpin terbabit meletakkan jawatan sekiranya apa yang dituduh terbukti benar. - Bernama
No comments:
Post a Comment