Wednesday, May 4, 2011

SPR, JPN disyaki sekongkol pindah ribuan pengundi di Selangor »

SHAH ALAM: Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud mengesyaki wujud usaha pemindahan pengundi Melayu dari kawasan majoriti pengundi Cina ke kawasan yang ditandingi oleh calon Pakatan Rakyat berketurunan Melayu.

Beliau mendedahkan perkara itu berikutan kewujudan ribuan tambahan nama di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Seri Andalas, Dun Seri Muda dan juga kawasan Parlimen Shah Alam dan Kota Raja yang diwakilinya.

“Saya mengesyaki kemungkinan wujud persekongkolan oleh pihak tertentu di dalam SPR dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melalui kewujudan nama-nama yang asing yang kita dapati dari senarai daftar pemilih.

“Ini adalah percubaan untuk mengalihkan pengundi dari kawasan yang tidak diyakini untuk menang oleh Barisan Nasional. Begitu juga dengan kewujudan ramai pengundi yang mempunyai kad pengenalan Sabah ke kawasan-kawasan ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa memfailkan bantahan Rang Undang-undang Daftar Pemilih suku tahun pertama 2011di Pejabat SPR Selangor di bangunan PKNS, hari ini.

Menurut Dr Mariah, sebagai contoh di Shah Alam, pihaknya mengesan rumah yang didiami tiga kaum Melayu, Cina dan India sekaligus.

“Ada juga di sebuah kawasan perumahan flat 5 tingkat yang mempunyai alamat sehingga ke tingkat 6,” kata Dr Mariah.

Dalam pada itu, Dr Mariah turut mempersoalkan kegagalan SPR mengemaskini data pengundi dalam talian (online) yang tidak seiring dengan data induk di pejabat SPR.

“Saya sendiri mengalami perkara ini apabila bertukar lokasi pengundian saya ke Taman Sentosa. Apabila dikemaskini, saya mendapati nama saya tidak wujud dalam senarai induk, sedangkan permohonan pertukaran telah dibuat. Hanyalah selepas datang ke pejabat dan didesak untuk dibuat pertukaran, barulah SPR melakukannya.

“Bayangkan, ribuan lagi pengundi di seluruh negara yang bertukar lokasi pengundian mereka. Apakah ia ada dalam senarai daftar pemilih induk?.

“Kita bimbang ramai yang tidak dapat mengundi dan mereka yang tidak jelas kedudukan dalam daftar senarai pemilih berpeluang untuk mengundi lebih dari sekali.

“Sebab itu tuntutan Bersih akan dibangkitkan semula. Terutamanya pendaftaran automatik kepada mereka yang berusia 21 tahun dan penggunaan dakwat kekal.”

“Kami terpaksa membuat semakan dan setiap nama yang diperiksa dikenakan bayaran RM10. Sehingga hari ini, kami menyemak hampir 200 nama.

“Kalau setiap nama tersebut difailkan untuk kes dan siasatan, kita perlu membayar RM 100 setiap nama.Lihat berapa banyak yang perlu dibelanjakan,” ujarnya.

Justeru, beliau menuntut Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof meletakkan jawatan berikutan kegagalannya membersihkan senarai tersebut.
keadilandaily

No comments:

Post a Comment