Monday, March 26, 2012

Gani, Musa akan disiasat jika Pakatan tawan Putrajaya


MalaysiakiniPenasihat DAP, Lim Kit Siang berjanji akan menyiasat dakwaan salahguna kuasa terhadap Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan jika Pakatan Rakyat menawan Putrajaya.

Beliau berkata, dakwaan tersebut perlu di siasat dan tribunal kehakiman akan ditubuhkan bagi mengetahui siapakah yang bersalah.

Lim menegaskan demikian ketika menyampaikan ceramah di Stadium Kuala Selangor malam tadi. Ceramah tersebut turut dihadiri Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Selain itu, Lim berkata, siasatan terhadap Musa dan Abdul Gani perlu disegerakan kerana katanya tiada negara yang berdepan dengan dakwaan serius seperti itu.

"Adakah perdana menteri kita berani untuk menubuhkan satu tribunal kehakiman untuk menyiasat tuduhan serius itu?," soalnya kepada kira-kira 5,000 hadirin.

Pada 19 Mac lalu, kerajaan menolak desakan bagi menubuhkan sebuah tribunal untuk menyiasat dakwaan bahawa Gani dan Musa telah menyalahgunakan kuasa mereka ‘menganiaya’ beberapa pegawai polis yang sedang menyiasat seorang tokoh kongsi gelap.

"Tidak. Saya telah menjawab di Parlimen lama dulu mengenai perkara ini," kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz dalam jawapan ringkasnya kepada Malaysiakini.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan bahawa Timbalan Menteri Dalam Negeri ketika itu Datuk Johari Baharom mengarahkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Datuk Ramli Yusuff untuk menyiasat kumpulan kongsi gelap Johor yang diketuai oleh Goh Cheng Poh yang didakwa terbabit dengan wang haram.

No comments:

Post a Comment