Monday, March 26, 2012

Isu amah: Malaysia bertegas tiada syarat baru - Tak tau sapa yang betul

Wartawan Sinar Harian
25 Mac 2012
Dr S. Subramaniam

SHAH ALAM - Malaysia terus mempertahankan pendiriannya dengan menegaskan, sememangnya tiada peruntukan baru - satu amah satu tugas dengan gaji minimum RM700, dipersetujui dengan kerajaan Indonesia, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Sehubungan itu menurut Dr Subramaniam, beliau telah bertanya perkara tersebut kepada rombongan Malaysia yang menyertai satu mesyuarat pasukan petugas di Jakarta dan telah dimaklumkan bahawa memang tiada peruntukan sedemikian.

"Mereka berkata tiada perkara sedemikian. Apa yang dipersetujui adalah gaji antara RM600 dan RM700, yang akan ditentukan oleh majikan dan pekerja (pembantu rumah) dan kesemua itu terkandung dalam (memorandum persefahaman) MoU yang akan dipatuhi," kata beliau dalam wawancara diterbitkan Sunday Star, hari ini.

Dr Subramaniam seterusnya berkata: "Saya sendiri telah menafikan perkara itu pada hari Jumaat (16 Mac). Pada hari Sabtu (17 Mac), Perdana Menteri mengulangi pendirian kita. Malaysia memang konsisten dan kita akan ikut apa yang telah dipersetujui dalam MoU."

Dalam temu bual itu, Dr Subramaniam juga berkata, beliau kecewa dengan langkah Indonesia yang hanya meletakkan syarat-syarat baru - satu amah satu tugas dengan bayaran tambahan pada mesyuarat yang diadakan di Jakarta dua minggu lalu.

Menurut beliau, kedua-dua Malaysia dan Indonesia telah menubuhkan satu pasukan petugas khas untuk menyelesaikan isu-isu yang masih belum selesai bagi membolehkan penghantaran pembantu rumah ke negara ini berjalan lancar sebagaimana telah dirancang.

Indonesia sepatutnya membekalkan pembantu rumah bermula Januari lalu. Ia kini tertangguh sehingga April depan.

"Pada satu mesyuarat di Jakarta minggu lalu (dua minggu lalu), syarat-syarat baru dikenakan, seperti bayaran tambahan bagi setiap tugas yang dilakukan, secara tiba-tiba. Kita kecewa," kata beliau dengan menekankan bahawa Malaysia telah menandatangani MoU dengan niat yang baik.

"Kita telah bersetuju dengan mereka bahawa kita kena mengadakan satu mekanisme untuk melindungi pekerja-pekerja mereka," katanya lagi.

"Mereka meminta syarat-syarat yang sukar (dilaksanakan) dan kita bersetuju," katanya dalam temu bual yang diadakan pertengahan minggu lalu.

Dalam wawancara khas dengan Sinar Harian Online Rabu lalu, Kedutaan Indonesia berkata, dasar seorang pembantu rumah satu tugas dengan bayaran gaji minimum RM700 sebulan telah dipersetujui oleh Malaysia pada mesyuarat Pasukan Petugas Bersama di Putrajaya awal Januari lalu.

Menteri Penasihat Kedutaan Indonesia, Suryana Sastradiredja, tidak timbul soal pihaknya melaksanakan sesuatu di luar kandungan memorandum persefahaman (MoU) dan perkara yang dipersetujui oleh Malaysia dan Indonesia tahun lalu.

Pasukan Petugas Bersama dibentuk bagi membincangkan perincian MoU yang ditandatangani pada 30 Mei 2011.

Pada mesyuarat 10 Januari lalu, kata Suryana, pasukan tersebut telah mencapai persetujuan iaitu tugas pembantu rumah merangkumi empat jenis latihan yang ditawarkan iaitu pembantu rumah, pengasuh, penjaga orang tua dan memasak.

"Di mana majikan Malaysia hanya boleh pilih satu bidang tugas.

"Jika majikan memerlukan pembantu rumah membuat tugas tambahan, mereka perlu membuat perjanjian dan bersetuju dengan bayaran tambahan yang dipersetujui bersama (oleh majikan dan pembantu rumah),” kata beliau.

No comments:

Post a Comment