Harakahdaily
29 Sep 2012 |
(Anwar dan pemimpin Pakatan di pentas khas di majlis makan malam perdana)
SHAH ALAM: Kewibawaan Suruhanjaya Piliahn Raya (SPR) dipertikaikan lagi apabila audit yang dibuat ke atas daftar pemilih mendapati 64,100 pengundi pos telah didaftar dalam satu hari.
Ia telah didaftarkan pada 9 April 2010 dan menimbulkan pelbagai tanda tanya, kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ia berdasarkan audit yang dibuat pada bulan Mac 2012, kata Anwar.
Beliau mendedahkan perkara ini ketika berucap di majlis makan malam perdana anjuran Pakatan Rakyat di Stadium Melawati malam tadi.
Hampir kesemua pemimpin kanan Pakatan Rakyat, kecuali Tuan Guru Datuk Nik Aziz yang tidak berapa sihat, berada di majlis itu.
Selain itu, audit yang dibuat juga mendapati 77,400 pengundi yang tidak dimasukkan dalam senarai pemilih 2008 telah dimasukkan begitu sahaja dalam senarai ini tanpa melalui proses yang sepatutnya.
Audit itu juga mendapati, 2,052 anggota tentera telah dimasukkan dalam senarai pemilih itu tanpa dinyatakan nombor kad pengenalan baru Malaysia.
Anwar juga memberitahu, 4.38 juta pemilih yang ada dalam senarai itu tidak mempunyai nombor rumah pada alamatnya manakala 3.3 juta pemilih pula mempunyai nombor rumah sahaja tetapi tidak mempunyai alamat jalan dan sebagainya.
"Kesemua ini menimbulkan pelbagai tanda tanya ke atas kewibawaan senarai pemilih ini," kata Anwar.
Bagaimanapun, di sebalik kesemua masalah itu, katanya, beliau yakin Pakatan akan menang dalam pilihan raya umum akan datang ini.
"Perkembangan yang berlaku di Sabah dan Sarawak serta kehadiran pemimpin mereka malam ini memberikan satu semangat baru kepada kita," kata Anwar.
Antara yang hadir malam tadi adalah bekas timbalan menteri, Datuk Seri Panglima Lajim Ukin dan anggota Parlimen Wilfred Bumburing serta beberapa nama besar lagi dalam arena politik tanah air.
Kedua-dua mereka telah mengumumkan meninggalkan Barisan Nasional dan menyokong Pakatan Rakyat sebelum ini.
No comments:
Post a Comment