19 September 2012
[DIKEMAS KINI] SHAH ALAM - Pejabat Suara Rakyat
Malaysia (Suaram) di Petaling Jaya dekat sini, 'dikunjungi' Pejabat
Pendaftar Pertubuhan (RoS) dan polis pagi ini selepas kerajaan
mengumumkan tindakan perundangan akan diambil ke atas syarikat yang ia
sandarkan untuk tujuan aktiviti dan operasinya.
Mesej yang diperoleh menerusi Twitter, yang dihantar oleh
pekerja-pekerja Suaram menyebut bahawa "enam pegawai berada di sini dan
kami meminta mereka tunggu di luar sehingga peguam-peguam kami datang.”
Pegawai-pegawai RoS difahamkan telah meninggalkan pejabat Suaram selepas mengadakan pertemuan dengan peguamnya.
Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif Suaram Nalini Elumalai berkata,
peguam Suaram telah memberi penjelasan kepada pihak RoS tentang
statusnya.
Menurutnya, Suaram ditubuhkan melalui Syarikat Suara Inisiatif Sdn Bhd
dan oleh itu, ia tidak perlu membuat pendaftaran dengan RoS.
"Kita didatangi beberapa orang pegawai RoS tadi, mereka nak kita isi borang daftar pertubuhan yang diberi mereka.
"Tapi bila peguam kami sampai, peguam Suaram telah terangkan yang
Suaram tak perlu isi borang pendaftaran di pihak RoS," katanya kepada Sinar Harian Online ketika dihubungi petang tadi.
Sebelum ini, SSM dikritik beberapa pihak kerana didakwa gagal bertindak
terhadap Suaram yang mengaku menerima dana dari negara dan individu
asing.
Kritikan itu susulan laporan yang mendakwa Suaram bukan sebuah
pertubuhan bukan kerajaan tetapi syarikat dikenali Suara Inisiatif.
SSM kemudian mengesahkan Suara Inisiatif berdaftar di bawah Akta
Syarikat 1965 pada 24 Oktober 2001 dan dianggotai dua pengarah berdaftar
iaitu Kua Kia Soong dan Yeoh Seng Gua.
Sementara itu, Nalini dengan merujuk kepada peguam Suaram berkata, RoS
tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkan pertubuhan itu didaftarkan
melalui borang yang dikemukan RoS hari ini.
Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Penggunaan,
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tindakan perundangan akan
diambil ke atas Suara Inisiatif Sdn Bhd.
Suaram didakwa beroperasi menggunakan dana luar negara.
"Setelah berbincang dengan beberapa agensi seperti Suruhanjaya Syarikat
Malaysia (SSM), Bank Negara dan beberapa lagi agensi, kami telah
membuat keputusan akan mengambil tindakan terhadap Suara Inisiatif Sdn
Bhd di atas peruntukan undang-undang iaitu Akta Syarikat 1965," ujar
Ismail Sabri semalam.
Tambah beliau, SSM akan mengambil tindakan ke atas Suara Inisiatif Sdn
Bhd kerana akaun mereka yang mengelirukan dan ia berdaftar di bawah SSM.
Minggu lalu, satu mesyuarat diadakan membabitkan SSM dan lima agensi hari ini bagi membincangkan kontroversi berkaitan Suaram.
Lima agensi yang terlibat dalam mesyuarat itu adalah Bank Negara,
Kementerian Dalam Negeri, RoS, Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya
Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
SSM menegaskan Suaram perlu disiasat dengan lebih lanjut disebabkan
oleh status pertubuhan tersebut yang tidak berdaftar serta penyaluran
dana asing melalui Suara Inisiatif Sdn Bhd.
No comments:
Post a Comment