sinar harian
12 Oktober 2012
PARA ulama meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda :
لقد شهدت في دار عبد الله بن جدعان حلفا لو دعيت به في الاسلام لأجبت.
السيرة النبوية لابن كثير - (ج 1 / ص 258 ).
السيرة النبوية لابن كثير - (ج 1 / ص 258 ).
(Sesungguhnya aku pernah menyaksikan di rumah Abdullah bin Jud’aan satu persefahaman, sekiranya aku diajak bersamanya dalam Islam nescaya aku menerimanya).
Peristiwa bersejarah ini berlaku dimasa jahiliyah, ketika Rasulullah S.A.W. belum dilantik menjadi Rasul dalam usia dua puluhan. Apabila bapa-bapa saudara baginda membawanya menyertai pertemuan khusus di kalangan pemimpin utama Makkah. Rasulullah S.A.W. diizinkan menyertai perjumpaan khas itu dalam usia yang dianggap terlalu muda dan mentah, tetapi diakui kebijaksanaanya yang luar biasa dan akhlaknya yang sangat mulia.
Peristiwa ini berlaku apabila seorang pengunjung Makkah daripada
Qabilah Zubaid Yaman yang berniaga, dizalimi oleh seorang bangsawan
Makkah bernama Al ‘Aas bin Waael. Pendatang yang dizalimi gagal
mendapat pertolongan daripada rakan-rakan kenalannya kerana kedudukan
bangsawanan si zalim itu. Lalu mangsa kezaliman mendaki bukit Qubais
berhampiran Kaabah melaungkan rayuan pertolongan dan mencabar bahawa
kesucian Makkah dan keamanannya sudah tidak ada lagi.
Apabila seruannya didengari oleh para pemimpin Makkah yang sedang
berkumpul, mereka merasa malu dan tercabar. Maka diadakan perjumpaan
tergempar di rumah Abdullah bin Jud’aan dengan membuat keputusan satu
muafakat yang dinamakan Half Al Fudul bagi menentang kezaliman dan
membela sesiapa yang dizalimi.
Rasulullah S.A.W. bersabda tersebut diatas dengan huraiannya:
(Kalaulah persefahaman ini diajak sekarang, ketika berada dalam Islam
pun nescaya aku menerima dan menyertainya).
Rasulullah S.A.W. juga bersabda secara umum:
الحكمة ضالة المؤمن فأنى وجدها وهو أحق بها .(ابن ماجه).
(Kebijaksanaan adalah barang tercicir kepunyaan seseorang yang beriman,
maka di mana sahaja dia mendapatinya, dialah yang berhak memungutnya).
Di atas konsep inilah maka Rasulullah S.A.W. menerima persefahaman
tersebut walaupun mereka itu daripada kalangan pemimpin jahiliyah.
Banyak perkara baik daripada amalan zaman jahiliyah dan kalangan yang
berperikemanusiaan daripada berbagai bangsa bukan Islam seperti melayan
utusan daripada negara luar termasuk negara musuh, perlindungan
keselamatan terhadap para diplomat, menghormati perjanjian antarabangsa
dalam perkara yang adil dan sebagainya diterima oleh Islam. Rasulullah
S.A.W. juga menyatakan sempadan dengan sabdanya:
المسلمون على شروطهم إلا شرطا حرم حلالا وأحل حراما (البخاري وغيره).
(Orang-orang Islam itu hendaklah bertanggungjawab diatas segala syarat
yang mereka tetapkan, malainkan syarat yang mengharamkan yang halal dan
menghalalkan yang haram).
Pas adalah parti Islam yang berpaksi dan berpandukan hukum tertinggi
mengikut undang-undang tubuhnya (Perlembagaan). Pelaksanaannya dikawal
oleh Majlis Syura Ulama, sehingga boleh membatalkan segala keputusan dan
langkah yang bertentangan dengan ajaran Islam. Maka Pas tidak boleh
disamakan dengan Umno.
Begitu juga hubangan Pas dengan DAP dan kalangan bukan Islam, sangat
berbeza dengan hubungan di antara komponen Barisan Nasional yang tidak
berdasar dan berkonsepkan Islam daripada al- Quran dan Sunnah, Ijma’
Ulama dan Qias.
Hubungan Pas dengan parti lain dalam Pakatan Rakyat adalah hubungan
tahaluf yang berpandukan nas tersebut di atas. Pakatan Rakyat adalah
satu muafakat politik dalam konsep tahaluf siyasi yang diluluskan oleh
Majlis Syura Ulama dalam skop hukum Feqah politik Islam.
Bekerjasama dalam titik persamaan menentang kezaliman politik dan
pentadbiran negara yang dialami oleh seluruh rakyat seperti amalan
demokrasi yang tempang, pentadbiran negara yang tempang, pengurusan
ekonomi yang penuh dengan penyelewengan, mesyarakat yang jahil dengan
kelemahan pendidikan dan undang-undang yang tidak ada kehebatan,
menyebabkan krisis moral yang parah dengan kebanjiran maksiat dan
jenayah.
Umno yang mewakili Melayu Islam dalam Barisan Nasional mencalarkan
Islam dan merosakkan imejnya. Sangat malang bagi sesiapa yang tidak
mebezakan diantara Islam dan Melayu, seperti Arab yang tidak
membezakannya dengan Islam. Islam pernah memperkasakan Arab dan Arab
tumbang setelah menjadikan Islam hanya kebanggaan sejarah tanpa amalan
yang sempurna, walaupun memiliki kekayaan melempah ruah.
Begitulah maknanya, tegakkan Islam bersama Pas Melayu selamat dan semua
kaum selamat. Tegakkan Melayu bersama Umno, Islam hanya menjadi jenama
yang ditampal pada kotaknya sahaja, tanpa isinya yang sebenar. Samalah
seperti meletakkan ubat batuk pada kotak yang berjenamakan ubat gatal.
Cukuplah menegakkan Islam ala Umno yang bergantung dengan politik wang,
pangkat dan tawaran mewah bersamanya tanpa jati diri yang sebenar.
Hanya menjadi penyakit yang memakan diri laksana pemelihara hantu yang
menjadikan tuannya, makan tidak kenyang walau pun makan
sebanyak-sebanyaknya.
Melayu yang perkasa bersama Umno, hanya sekadar bertempik menghunus
keris taming sari sesama sendiri sehingga negeri dijajah. Merekalah baka
yang menyerah diri kepada penjajah dahulu dan mewarisi kemerdekaan
yang diletak diatas dulang emas dan menerimanya dengan melalui hamparan
permaidani dan taburan bunga. Sejarah tetap tidak boleh dibohongi
bagaimana golongan Islam bermandi darah dan air mata menentang penjajah
walau pun disembunyikan dibawah tikar yang hina.
Pas ditubuhkan menjadi mata rantai kumpulan Islam terdahulu yang pernah
diharamkan silih berganti. Pas tetap Istiqamah dengan Islamnya
menyatakan Islam adil terhadap semua manusia. Bukan hanya Arab dan
Melayu sahaja atau hanya penganut Islam sahaja. Islam adalah rahmat
ALLAH kepada seluruh alam. Pas boleh bekerjasama dengan semua pihak dan
tegas berpegang kepada dasarnya dan boleh bertasamuh mengikut
batas-batas ALLAH.
Pas pernah bersama Umno di tahun 70-an dan menubuhkan Barisan Nasional
bersama Umno dan rakan-rakannya. Penyertaannya dengan keputusan
Muktamar Khas supaya teguh membawa mesej Islam secara tahaluf siyasi.
Ketika bersama Umno, Pas memecat sesiapa kalangan ahlinya, termasuk
ahli Parlimennya yang berjoget dan minum arak bersama Umno.
Kemudian Pas dihalau keluar daripada Barisan Nasional tahun 1978 dan
selepas itu kerajaan Pas Kelantan dijatuhkan dengan perisytiharan
darurat yang diluluskan oleh Umno dan rakan-rakannya melalui sidang khas
Parlimen dan pilihan raya khas selepas itu. Lalu Pas bersendirian mara
ke hadapan dengan cita-cita Islamnya. Pas adalah tersendiri, tidak sama
dengan Umno.
Maka Pas tidak perlu berkiblat ke arah Umno dan berimam mengikut arah
kiblatnya, kerana kiblat politiknya salah. Tegasnya Pas tidak menghalang
ahli DAP minum arak, makan babi, berjudi dan sebagainya. Tetapi Pas
memecat kalau ahlinya melakukan perkara yang sama.
Pas pernah mengadakan tahaluf siyasi dengan Parti Melayu Semangat-46
yang berpecah daripada Umno. Parti Semangat-46 pula mengadakan kerjasama
dengan DAP.
Parti ini tidak ada lagi dan gagasan yang dinamakan Angkatan Perpaduan
Ummah yang menggabungkan Pas, Parti Melayu Semangat-46, Berjasa dan
Hamim sudah tamat. Akhirnya Pas mengadakan tahaluf siyasi bersama PKR
yang juga berpecah daripada Umno. Kemudian diiikuti pula tahaluf siyasi
dengan DAP.
Pas mengucapkan terima kasih kepada Umno dan media yang menjadi
khadamnya kerana sangat bersimpati terhadap Pas kerana kononnya bimbang
Pas akan menjadi parti melukut di tepi gantang.
Percayalah orang Melayu Islam tidak akan hilang jati dirinya bersama-
sama dengan Pas selagi Pas tidak meminda kedudukan Islam sebagai dasar
dalam perlembagaannnya, seperti Melayu bersama Umno sehingga tidak
bermaya di Singapura, Pulau Pinang dan lain-lain.
Kaum lain di kalangan bukan Islam pula jangan takut bersama Pas kerana
kumpulan dan gerombolan yang mengapi-apikan semangat perkauman dan
fanatik buta agama berada dalam Umno atau bersekongkol bersama Umno.
Di sepanjang kerjasama Pas dalam tahaluf siyasi tidak pernah rugi.
Walaupun ditendang dan dipandang lekeh. Kerjasama PAasdalam BN di awal
tahun 70-an dan sehingga akhirnya tidak rugi dengan kehilangan Kelantan
setelah Pas ditendang keluar.
Pengaruh Pas dalam kerajaan berjaya masuk ke dalam jasad jentera
kerajaan dan institusi pengajian dalam negara dan luar negara dan
bertunjang sehingga hari ini dan mereka adalah bakal menjadi jentera
pentadbiran Pas dalam Pakatan Rakyat sekiranya berjaya.
Kerjasama Pas bersama Angkatan perpaduan Ummah (Parti Melayu
Semangat-46 dan DAP) tahun 90-an berjaya menawan Kelantan sehingga hari
ini. Kerjasama Pas dengan Barisan Alternatif dan kemudiannya Pakatan
Rakyat berjaya menawan Terengganu pada tahun 1999 walaupun hanya satu
penggal kerana ditumbangkan dengan zalim.
Tahun 2008 pula berjaya menawan lima negeri dan Pas memimpin tiga
negeri iaitu Kelantan, Kedah dan Perak. Manakala Selangor dipimpin PKR
dan DAP memimpin Pulau Pinang. Walaupun dijatuhkan begitu rupa di Perak.
Inilah sinario tahaluf siyasi yang dilaksanakan selama ini.
Kerjasama tahaluf siyasi mutakhir ini berjaya memecahkan tembok yang
melindungi pandangan bukan Islam terhadap Islam. Usaha media berbagai
bahasa termasuk bahasa Melayu beragama Islam bagi mengelirukan menemui
kegagalan.
Sehingga akhirnya mendedahkan kepura-puraan Umno berjuang menegakkan
hukum hudud laksana ayam jantan kukuk berderai pada hal ekornya
bergelimang tahi sejak lebih 50 tahun. Sebenarnya Umnolah penghalang
besar kepada perlaksanaan Islam kerana telah berkuasa diperingkat negeri
dan pusat.
Ketahuilah bahawa pengajian politik bukan sahaja tersurat dalam tulisan
buku dan pengajian akademik di bilik kuliah. Terpenting juga ialah
ijtihad dengan Istiqamah ditengah medan perjuangan. Pas mempunyai semua
aspek ini dengan beristiqamah kepada ajaran Islam yang menjadi akidah
dan teras kepada semua amalannya.
Negeri Kelantan adalah satu-satunya negeri paling lama diperintah oleh
Pas sejak tahun 1959 sehingga 1977 dan kali kedua 1990 sehingga kini
adalah penyumbang besar kepada kejayaan Melayu Muslim dalam bidang
pendidikan, perkhidamatan awam, keselamatan dan ekonomi.
seterusnya di sini
Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Presiden Pas
No comments:
Post a Comment