Harakahdaily
| Rizal Tahir, | 12 Dis 2012 |
KOTA BHARU: Akhbar The Star bakal berhadapan dengan
tindakan undang-undang daripada kerajaan Kelantan berikutan laporan
berunsur fitnah ‘isu khalwat’ yang dikenakan terhadap pasangan bukan
Islam baru-baru ini.
“Kami berpendapat liputan bermula daripada tajuk, liputan akhbar
berkenaan yang menyentuh tangkapan khalwat terhadap orang bukan Islam
itu suatu tindakan yang berbentuk fitnah,” ujarnya.
Takiyuddin menyebut, dakwaan laporan yang mengatakan kes itu yang
pertama di negara ini amat tidak tepat kerana ianya telah berlaku di
Kuala Lumpur.
“Kerajaan negeri sedang mengkaji untuk mengambil tindakan
undang-undang kerana mendakwa kerajaan negeri pertama kes berkenaan
sebagai khalwat, walhal telah berlaku di DBKL.
“Itu baru dua kes dan kita sedang mengkaji lagi kes-kes lain sekiranya ada unsur-unsur fitnah oleh akhbar terbabit,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas mesyuarat exco yang
dipengerusikan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz
Nik Mat.
Kata Takiyuddin lagi, kes berkenaan bukan kes pertama di negara ini,
sebaliknya DBKL telah berbuat tindakan yang sama terhadap pasangan bukan
Islam yang melanggar undang-undang tersebut sejak tahun 2003 lagi.
“Memandangkan mereka enggan membayar kompaun akhirnya dibawa kes berkenaan ke Mahkamah Bandaraya Kuala Lumpur.
“Memandangkan pasangan berkenaan yang turut melakukan tidak sopan di
khalayak umum itu enggan mengaku salah, kes tersebut dibawa ke Mahkamah
Persekutuan,” ujarnya.
Katanya, Ketua Hakim Negara ketika itu, Tun Ahmad Fairus Sheikh Abdul
Halim yang bersidang bersama hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Datuk
Alauddin Sheriff dan Datuk Richard Malanjut sebulat suara memutuskan
DBKL ada hak untuk mendakwa pelajar terbabit.
“Jadi sama juga kesnya yang berlaku di Kelantan ini, mereka bukannya
ditangkap khalwat, tetapi kerana telah melanggar Undang-Undang Kecil
Taman yang telah diperkenalkan sejak tahun 1986,” ujarnya.
Beliau tidak menolak isu itu dimainkan oleh pihak berkepentingan dalam politik untuk menghadapi pilihanraya umum akan datang.
No comments:
Post a Comment