Harakahdaily, | 25 Feb 2013 |
ALOR SETAR: Presiden
PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menasihatkan rakyat agar
menjadi ikan yang cerdik berhadapan dengan pancing BR1M yang ditaja
Barisan Nasional.
Bercakap di Karnival Tahun Baru Cina di Alor Setar baru-baru ini,
beliau berkata BR1M yang diberi tatkala pilihanraya sudah dekat adalah
untuk memperbodohkan rakyat.
“BR1M diberi masa pilihanraya. Ini membodohkan rakyat. Dia bagi kita
ambil. Kita mesti menjadi ikan yang cerdik, kita makan umpan bukan makan
kail. Jangan jadi ikan bodoh, telan kail kita sangkut,” kata beliau
sambil mengajak rakyat membuat perubahan.
Tuan Guru Abdul Hadi berkata pelbagai masalah yang dialami rakyat kini adalah hasil pemerintahan yang tak betul.
“Setelah 50 tahun, kita melihat banyak rakyat dalam keadaan malang,
miskin dan mengganggur dan tak ada tanah tempat kediaman – masih
mengalami pelbagai masalah.
“Walaupun negara kita banyak hasil, negara kita berada di tempat
hubungan laluan antarabangsa. Kita jadi begini kerana pemerintahan yang
tak betul,” tegas beliau.
Ahli Parlimen Marang itu berkata melalui sistem demokrasi rakyat akan
menjadi hakim untuk memilih kerajaan yang memerintah 5 tahun sekali.
“Pepatah Cina kalau nak tolong bagi kail, pancing dan tali. Bukan
bagi ikan. Kalau bagi ikan, dia akan minta ikan lagi. Tak boleh selesai
lagi masalah. Bagi kail bagi pancing selesai masalah. Dia berdiri diri
sendiri.
“Cukuplah BN memperbodohkan kita dengan BR1M. BR1M, bagi duit, bagus
bagi duit. Inikah cara untuk meningkatkan ekonomi rakyat?” tambah
beliau.
Di dalam ucapan tersebut di majlis tersebut, beliau buat pertama
kalinya cuba memberikan ucapan dalam bahasa mandarin untuk
mengalu-alukan kedatangan hadirin.
“Berharap tahun baru ini dapat membawa kelebihan, kebaikan dan
kesejahteraan kepada kita semua,” katanya di dalam bahasa Mandarin yang
mendapat tepukan gemuruh daripada hadirin.
Beliau turut berseloroh dengan percubaan bertutur dalam bahasa Mandarinnya.
“Saya minta maaf kerana Bahasa Mandarin saya pelat Bahasa Melayu Terengganu,” katanya yang menghiburkan para hadirin.
No comments:
Post a Comment