February 11, 2013
KUALA LUMPUR, 11 Feb — Pemimpin Pakatan Rakyat (PR) menuduh
Tun Dr Mahathir Mohamad berpura-pura lupa apabila menafikan
penglibatannya dalam “Projek IC” yang membawa pendatang tanpa izin di
Sabah.
“Saya rasa Dr Mahathir boleh kata beliau tidak bertanggungjawab atas apa yang telah dilakukan.
“Saya rasa dia sudah nyanyuk. Dia hanya ingat perkara baik seperti
KLCC,” kata ahli jawatankuasa eksekutif pusat DAP Anthony Loke kepada
The Malaysian Insider, merujuk kepada Menara Berkembar Petronas, projek
mega di bawah pentadbiran Dr Mahathir.
Bekas perdana menteri yang berulang kali dituduh mengetuai “Projek
IC”, inisiatif yang dijalankan pada 1980an di mana kewarganegaraan
Malaysia didakwa ditukar dengan undi kepada Barisan Nasional, dan beliau
menafikan perkara demikian dilakukan, sebaliknya berkata ianya mengikut
proses undang-undang.
Beliau mendakwa pemberian kewarganegaraan di Malaysia mempunyai tempoh yang tertentu, selain syarat-syarat lain.
“Saya bersetuju kita boleh beri kewarganegaraan kepada mereka yang
tinggal di negara ini dalam tempoh tertentu dan layak menjadi
warganegara,” kata beliau apabila ditanya wartawan semasa melancarkan
buku di Universiti Malaya.
Namun Dr Mahathir berkata sekiranya ini benar, beliau tidak mengawal
sepenuhnya apa yang dilaksanakan semasa beliau menjadi perdana menteri.
“Apa yang terjadi di sana, saya tidak boleh dipersalahkan,” katanya
lagi. “Arahan diberi kepada mereka untuk memberi kewarganegaraan kepada
mereka yang layak.”
Loke berkata mustahil bagi Dr Mahathir selaku perdana menteri tidak menyedari operasi ini.
Pengakuan di dalam inkuiri Suruhanjaya Diraja (RCI) menunjukkan
bahawa pemimpin peringkat atasan terlibat dengan “Projek IC”, termasuk
orang kanan Dr Mahathir, Allahyarham Tan Sri Megat Junid Megat Ayub.
Namun begitu, sungguhpun pendedahan projek tersebut dibuat, Dr
Mahathir, yang pernah menjadi perdana menteri Malaysia selama 22 tahun,
terus menafikan tuduhan tersebut. Beliau kemudian menuduh ketua
pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahum yang menjadi timbalan beliau ketika
itu
Anwar juga menafikan pembabitan beliau dalam “Projek IC”.
“Apa kredibiliti beliau selaku perdana menteri mengatakan beliau tidak mengetahui projek tersebut?
“Saya bolehlah menggelarkan beliau sebagai perdana menteri yang
tidur, seperti penggantinya Abdullah?” kata naib presiden PAS Salahuddin
Ayub, merujuk kepada pengganti Dr Mahathir, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
“Beliau seharusnya bertanggungjawab,” kata ahli parlimen Kubang Kerian itu.
Menurut satu pendedahan , sebanyak 100,000 kad pengenalan biru
dikeluarkan kepada pendatang di Sabah pada tahun 1993. Selain itu,
mereka juga menerima resit dari JPN yang berupa dokumen sementara
membolehkan mereka mengundi pada pilihan raya negeri 1994.
Minggu lalu, pegawai Cawangan Khas (SB) DSP Badaruddin Ismail memberi
keterangan bahawa bekas pengarah JPN menjual 16,000 resit bernilai
lebih RM1 juta untuk membenarkan pendatang di Sabah mengundi.
Namun bekas ketua menteri Sabah, Tan Sri Harris Salleh, yang
mentadbir negeri tersebut dari 1976 hingga 1985 antara mereka yang
terawal menghadapi inkuiri, menolak kewujudan “Projek IC”.
Sabah mempunyai hampir sejuta pemilih yang berdaftar — 926,638 secara
tepatnya, dalam laporan pada Jun oleh akhbar berbahasa Inggeris The Star.
Naib presiden PKR, Chua Tian Chang berkata sama ada Dr Mahathir
terlibat atau tidak akan ditentukan oleh pengundi Sabah pada pilihan
raya akan datang.
“Saya ingat sejarah akan mencatatkan apa penemuan yang RCI cari, Mahathir salah atau tidak, akan dicatat dalam sejarah.
“Apa yang berlaku di Sabah adalah satu realiti, sama ada beliau nak
bertanggungjawab atau tidak, kita semua akan menjawabnya dalam pilihan
raya kelak,” katanya lagi.
Pemerhati berpendapat RCI mungkin mengubah keadaan di Sabah dengan
berpihak kepada pembangkang dalam usaha BN memastikan kubu kuat gabungan
pemerintah tersebut bertahan dari pengaruh PR.
Kedua-dua Sabah dan Sarawak adalah kunci BN dapat mempertahankan
Putrajaya pada pilihan raya 2008 dengan keputusan pilihan raya hanya
menang dengan majoriti mudah. TMI
No comments:
Post a Comment