PETALING JAYA, 27 Mei — Pakatan Rakyat (PR) belum secara rasmi
berbincang atau merancang untuk mengadakan perhimpunan bantahan di
Dataran Merdeka, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) hari ini menjelaskan tentang cakap-cakap dari sesetengah pemimpin pembangkang.
Pemimpin
de facto PR itu walau bagaimanapun berkata, gabungan itu akan
meneruskan perhimpunan #Black505 untuk membantah keputusan pilihan raya
baru-baru ini, mengatakan daripada sentimen rakyat dari perhimpunan
lepas, jelaslah ramai yang telah “muak” dengan Barisan Nasional (BN).
Beliau mengatakan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu yang menyatakan
tentang Dataran Merdeka semalam dalam perhimpunan #Black505 di tapah,
Perak hanya menyuarakan sentimen ini.
“Saya fikir Mat Sabu hanya menyuarakan sentimen popular ini bahawa
kita tidak boleh membenarkan penipuan ini untuk berterusan dan SPR
mendakwa mereka tidak terlibat dengan aktiviti jenayah mengelirukan dan
menipu dalam pilihan raya.
“Ini bukan, sudah tentu, keputusan dari PR,” tambah beliau. “Setakat ini, masih belum ada perbincangan atau keputusan oleh PR.”
Semalam di Tapah, Perak Mohamad mengatakan PR akan menghimpunkan
jutaan rakyat di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur jika tuntutan mereka agar
pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof
dan timbalan pengerusi Datuk Wan Ahmad Wan Omar meletakkan jawatan
tidak ditunaikan.
Menurut timbalan presiden PAS itu, jika desakan tidak ditunaikan, PR
akan menganjurkan lebih banyak perhimpunan sehingga kerajaan Datuk Seri
Najib Razak turun takhta.
“Jutaan rakyat akan memenuhi Kuala Lumpur jika tuntutan kita tidak
ditunaikan tidak lama lagi,” kata Mohamad dalam perhimpunan #Black505 di
sini malam tadi.
“Jika SPR tidak letak jawatan, kita akan terus mengadakan perhimpunan sehingga kerajaan Najib gugur,” tambah beliau lagi.
Perhimpunan #Black505 di Tapah ini adalah yang kesepuluh bagi
membantah keputusan Pilihan Raya 2013 dan julung kalinya dianjurkan oleh
PAS.
PR menyalahkan penipuan pilihan raya menyebabkan mereka tidak menjadi
kerajaan walaupun menang undi popular pada Pilihan Raya 2013.
PR menang 89 kerusi Parlimen berbanding Barisan Nasional (BN) yang mendapat 133 kerusi daripada 222 kerusi Parlimen.
Walau bagaimanapun, buat pertama kali semenjak 1969, BN kehilangan
undi popular apabila hanya mendapat 47 peratus undi keseluruhan
berbanding PR yang mendapat 51 peratus.
No comments:
Post a Comment