Harakahdaily, | 10 Mei 2013 |
KUALA LUMPUR: Kerajaan
Persekutuan harus menamatkan hukuman dan kezalimannya terhadap rakyat
dan Kerajaan Negeri Kelantan yang telah melebihi 20 tahun semata-mata
kerana rakyat negeri itu memilih PAS menerajui kerajaan negeri.
Demikian gesaan bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno, Tan Sri Abdul Kadir Fadzir sebagai respons kepada keputusan PRU13.
“Pakatan Rakyat boleh memainkan peranan untuk memastikan Persekutuan
bersikap adil kepada kerajaan PR di Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang
sesuai dengan semangat sistem federalism yang kita amalkan,” ujarnya
dalam satu kenyataan, sebagaimana di bawah.
Saya meminta supaya semua pihak menerima baik keputusan rakyat yang
telah dibuat pada PRU13 berlalu bukan sahaja bagi Parlimen Malaysia
tetapi juga Dewan-Dewan Undangan Negeri.
Walaupun terdapat sedikit kecurigaan di sana sini mengenai ketelusan
pemilihan tersebut tetapi ianya bukanlah sebesar yang boleh menafikan
kemenangan-kemenangan yang telah diistiharkan. Pihak yang tidak
berpuashati masih boleh memohon kepada mahkamah untuk cuba
memperbetulkan keadaan.
Saya yakin rakyat sudah jemu dengan politik yang berpanjangan dan
saya yakin adalah sebaik-baiknya untuk kita meneruskan kerja kita untuk
membangunkan negara dan bangsa.
Keputusan PRU13 tersebut tidak langsung menandakan tamatnya riwayat
Pakatan Rakyat. Malah Pakatan Rakyat sendiri telah mendapat sokongan
besar dari rakyat (sekitar 51%) dan mereka boleh terus menerus memainkan
peranan sebagai pembangkang yang kuat, aktif dan bertanggungjawab.
Semua mengakui memang terdapat berbagai kelemahan di pihak kerajaan
seperti rasuah, kronisma, pembaziran yang begitu ketara, ketirisan,
ketidakecekapan dan berbagai lagi. Demi untuk masa hadapan, negara,
bangsa dan generasi akan datang masalah-masalah pokok ini harus
ditentang dan diatasi.
Di sinilah Pakatan Rakyat boleh terus menerus memainkan peranannya
secara aktif dan berkesan dan sebagaimana yang diharapkan oleh rakyat
yang telah mengundi dalam PRU baru-baru ini.
Di samping itu, Pakatan Rakyat juga harus mengawasi dan memantau agar
segala janji-janji Barisan Nasional dalam manifestonya di peringkat
Persekutuan dan di peringkat negeri dilaksanakan dengan penuh kejujuran
tanpa mengira fahaman politik dan dalam masa sesingkat-singkatnya.
Dalam masa yang sama juga Pakatan Rakyat boleh memainkan peranan
untuk memastikan Kerajaan Persekutuan bersikap adil kepada
kerajaan-kerajaan Pakatan Rakyat di Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang
sesuai dengan semangat sistem federalism yang kita amalkan. Khususnya
Kerajaan Persekutuan harus menamatkan hukuman dan kezalimannya terhadap
rakyat dan Kerajaan Negeri Kelantan yang telah melebihi 20 tahun
lamanya, semata-mata kerana rakyat negeri itu memilih PAS menerajui
kerajaan negeri
No comments:
Post a Comment