KUALA
LUMPUR, 30 April — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengatakan 60,673 kad
pengenalan (IC) meragukan seperti didedahkan dalam Suruhanjaya Siasatan
Diraja (RCI) berkenaan dengan “Projek IC” masih sah kerana tiada
sebarang keputusan muktamad diputuskan.
Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menjawab dakwaan pemantau
pilihan raya Malaysian Electoral Roll Analysis Project (MERAP) yang
mengatakan senarai pengundi bermasalah tersebut masih berada dalam
daftar pemilih.
“Senarai daftar pemilih yang dibangkitkan dalam RCI itu masih sah, lagipun tiada sebarang keputusan muktamad yang dicapai.
“RCI pun masih belum habis dan buat keputusan, macam mana kita nak
buang daftar pemilih tersebut,” kata Abdul Aziz kepada The Malaysian
Insider.
Abdul Aziz juga berkata pengundi tersebut adalah warganegara
Malaysia, malah daftar pemilih tersebut telah dipamerkan sejak dua
minggu lalu bermula pada 17 Januari lalu dan selesai diwartakan sebagai
pengundi untuk pilihan raya 5 Mei ini.
“SPR telah pun pamerkan senarai daftar pemilih itu selama dua minggu, kalau mereka bantah sepatutnya ia buat dalam tempoh itu.
“Kenapa sekarang mahu membangkitkan dan membuat macam-macam tuduhan,” katanya lagi.
MERAP mendakwa Kebanyakkan pengundi ini didaftarkan dengan alamat
tidak lengkap, di bawah jantina berlainan atau tarikh lahir berbeza
atau di negeri yang mereka tidak dilahirkan, dengan contoh pelbagai
orang didaftarkan di bawah satu IC.
Lebih kurang 80 peratus daripada 60,653 pengundi didaftarkan dengan
alamat tidak lengkap, 44 daripada mereka di bawah jantina berlainan,
193 di bawah tahun lahir berbeza dan 123 di negeri yang mereka tidak
dilahirkan, kata pembantu penyelidikan MERAP Lee Wee Tak hari ini.
Beliau mengatakan pendaftaran tertinggi berlaku diantara 1990 hingga
1993 apabila Sabah diperintah oleh parti pembangkang Parti Bersatu
Sabah (PBS).
Abdul Aziz walau bagaimanapun berkata SPR tidak mempunyai kuasa untuk
memberikan IC ataupun kewarganegaraan seperti yang didedahkan dalam
RCI, menegaskan semua pendaftaran pengundi dilakukan hanya jika individu
tersebut memiliki kad pengenalan biru.
“Macam mana mereka mendapat IC atau warganegara itu bukan kerja SPR,
apabila warganegara membawa IC biru untuk mendaftar sebagai pengundi
kita kenalah terima,” terang Abdul Aziz lagi.
RCI berkenaan “Projek IC” di Sabah telah ditangguhkan ke 20 Mei iaitu
dua minggu selepas pilihan raya, disebabkan kerana insiden pencerobohan
pengganas bersenjata Sulu di Lahad Datu, Sabah pada Februari lalu.
Sesi pendengaran pertama diadakan selama lima hari, bermula 14
Januari. Sehingga kini, 62 saksi telah dipanggil untuk memberi
keterangan.
Pada Pilihan Raya 2008, BN akan kehilangan majoriti tradisi dua
pertiga sebahagian besarnya disebabkan oleh kekalahan besar di
semenanjung dimana mereka hanya menang 85 kerusi manakala pembangkang
mendapat 80 kerusi.
BN diselamatkan oleh Sabah, Sarawak dan Labuan dimana gabungan
pemerintah itu menundukkan pembangkang, hampir menyapu bersih apabila
menang 55 kerusi parlimen manakala pembangkang hanya menang dua.
Sejumlah hampir 13.3 juta pengundi termasuk 5,200 pengundi luar
negara layak untuk mengundi untuk memilih 222 wakil di Parlimen dan 505
wakil Dewan Undangan Negeri (DUN) di 12 negeri. Sarawak telah
menjalankan pilihan raya negeri pada 2011.
No comments:
Post a Comment