Wednesday, June 26, 2013

Bantah penipuan PRU13, beri hak rakyat bersuara

Harakahdaily 

Hazayani Zakaria, 25 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat membantah keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) melalui undang-undang kerana undang-undang memberi peruntukan untuk berbuat demikian, kata Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud.

Siti Mariah berkata, rakyat berhak bersuara mengikut lunas undang-undang bagi membetulkan kepincangan sistem pilihan raya.

"Kita menghormati keputusan pilihan raya tapi undang-undang memberi ruang untuk kita membantah dan untuk mereformasi sistem yang tidak berapa sempurna.

"Tidak bermakna bila kita mematuhi maka kita akur dan tidak membuat apa-apa teguran. Kita harus menyuarakan walapun nampak lantang tapi untuk kebaikan negara," kata beliau yang juga Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas titah Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah agar semua pihak menerima dan menghormati keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13.

"Beta menyeru semua pihak menerima dan menghormati keputusan Pilihan Raya Umum Ketiga Belas yang telah diadakan mengikut lunas-lunas sistem demokrasi dan seterusnya bekerjasama serta berganding bahu bagi membolehkan negara melangkah ke depan untuk mencapai matlamat negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020," titah baginda semasa merasmikan Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama Parlimen ke-13 di sini.

Pandangan yang sama turut disuarakan Ahli Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan.

Beliau menegaskan, Pakatan Rakyat membantah penipuan dan kepincangan dalam sistem pilihan raya.

"Memang kita terima keputusan pilihan raya oleh itu kita datang angkat sumpah.

"Yang kita tolak itu ialah kepincangan, penipuan, penyelewengan jika ada maka itu yang dipersoalkan.

"Tapi soal perhimpunan, itu untuk menyatakan suara rakyat terhadap beberapa kepincangan yang berlaku. Jadi saya minta kerajaan juga mengambil kira hak rakyat untuk bersuara," katanya.

No comments:

Post a Comment