Pakatan
Rakyat (PR) menyambut baik cadangan Yang di-Pertua Dewan Rakyat
(Speaker) Tan Sri Pandikar Amin Mulia supaya penubuhan "Kabinet
Bayangan" tetapi menyifatkan ia tidak berguna selagi tiada perkongsian
maklumat dengan kementerian-kementerian dalam kerajaan.
Dalam ucapan pemasyhuran semalam, Pandikar memberikan amanat kepada
ahli-ahli Parlimen supaya berubah dan langkah tersebut boleh dimulakan
dengan penubuhan "kabinet bayangan" bagi memudahkan proses perdebatan
dalam sidang Dewan Rakyat.
"Tidak ada perkongsian maklumat, kami tidak diberi maklumat dan boleh
memperolehnya menerusi pertanyaan soalan di dalam Dewan Rakyat sahaja.
"Jadi, macam mana nak jadi menteri dalam 'Kabinet Bayangan' yang
berkesan?" soal ahli Parlimen Seputeh (DAP), Teresa Kok kepada The
Malaysian Insider selepas selesai majlis mengangkat sumpah di Parlimen
semalam.
Naib Pengerusi Kebangsaan DAP itu juga mempertikaikan layanan tidak
adil yang diberikan kepada ahli-ahli Parlimen pembangkang oleh Putrajaya
sebagai salah satu faktor cadangan Pandikar tidak akan berjaya dicapai
selagi sistem tersebut tidak diubah oleh kerajaan.
"Kalau di luar negara dalam sistem mereka sangat hormat kepada MP
alternatif, walaupun bukan dalam kerajaan... Bukan macam disini,
peruntukan kepada MP pembangkang pun tidak ada.
"Ini salah satu contoh saja, kami dipinggirkan begitu sahaja dan
tidak diberikan maklumat. So, macam mana nak mainkan peranan? So ini
nanti tinggal hanya nama sahaja," katanya lagi.
Ahli Parlimen Shah Alam (PAS) Khalid Samad juga senada dengan Teresa
kerana menyifatkan sesebuah "kabinet bayangan" sewajarnya dibekalkan
dengan maklumat-maklumat daripada kementerian kerajaan kerana setiap
anggota Dewan Rakyat perlu mengetahui tentang isu dan perkara yang
berlaku dalam sesuatu kementerian.
"Perkara-perkara ini perlulah dilaksanakan untuk menentukan
keberkesanan seorang menteri 'kabinet bayangan', kerana kalau nak
bercakap tentang sesuatu isu tersebut dia juga perlu tahu tentang isu
tersebut," kata Khalid mengulas tentang cadangan Pandikar.
Khalid dalam pada itu juga berkata sekiranya kementerian-kementerian
tersebut enggan berkongsi maklumat, sekurang-kurangnya Putrajaya
memberikan kebebasan kepada media untuk melaporkan sebarang perkembangan
ataupun berita bagi memudahkan kepada menteri "kabinet bayangan"
mendapat akses.
"Itulah, kalau kita nak kabinet ini efektif, sekurang-kurangnya
perlulah free media lah... Kalau tidak ada free media, payahlah nak
kongsi maklumat," kata Khalid lagi disamping bertegas ia lebih baik
sekiranya kebebasan media diberikan dan pada masa sama kementerian
memberikan maklumat kepada menteri "kabinet bayangan".
Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli bagaimanapun menyambut baik
cadangan itu tetapi membayangkan barisan pemimpin yang akan berada dalam
"kabinet bayangan" perlulah dikalangan mereka yang mempunyai kapasiti
dan pengetahuan dalam portfolio bakal akan ditetapkan.
"Masanya sudah tiba untuk kita ada kabinet bayangan, ia tidak ada isu dengannya.
"Cuma kita kena pastikan mereka yang berada dalam Kabinet ini dia
kena bagus lah... maknanya bila ada Kabinet ini, harapan rakyat juga
mestilah tinggi dan kita kena juga kena pastikan kualiti mencapai tahap
yang rakyat mahu," kata Rafizi.
Rafizi juga berkata ahli Parlimen yang dilantik berada dalam Kabinet
juga perlu lebih mendekatkan diri mereka dengan pihak luar dan tidak
hanya aktif semasa sidang Parlimen sahaja.
PR pada sidang Dewan Rakyat Ke-12 lalu tidak pernah mengemukakan
sebarang "kabinet bayangan" malahan sebarang usaha ke arah mewujudkannya
mendapat tentangan dan tidak mendapat persetujuan secara kolektif.
Malahan, pada Oktober 2012 lalu berlaku pertikaian antara parti dalam
PR apabila satu senarai "kabinet bayangan" yang dikeluarkan oleh PKR
telah bocor dan menyebabkan timbalan pengerusi DAP, Dr Tan Seng Giaw
mengecamnya sebagai sebagai khayalan kerana Parlimen belum dibubarkan
tetapi sudah meletak calon dalam kementerian tertentu.
Pilihan Raya 2013 menyaksikan Barisan Nasional (BN) yang diterajui
Perdana Menteri Datuk Najib Razak kembali berkuasa dengan memenangi 133
daripada 222 kerusi Parlimen, yang turut menyaksikan Anwar dan PR tidak
berpuas hati dengan keputusan itu dan mengadakan perhimpunan Black 505
di seluruh negara sejak 8 Mei. - 25 Jun, 2013. The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment