Harakahdaily, | 04 Jun 2013 |
KUALA LUMPUR: Dewan
Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyokong keputusan pemimpin Pakatan Rakyat
yang mendesak Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul
Aziz Mohd Yusof dan timbalannya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar meletakkan
jawatan.
DPPM berpendapat, keputusan PR adalah langkah terbaik bagi meredakan
kemarahan rakyat yang merasa tertipu dengan perjalanan pilihanraya yang
dianggap sebagai suatu ‘silap mata’ paling besar dalam sejarah negara.
“Dengan jumlah petisyen yang dikemukakan kedua-dua pihak, sama ada
Pakatan Rakyat mahupun Barisan Nasional sebanyak 85 buah kerusi, sudah
cukup membayangkan bahawa kesemua pihak tidak berpuashati dengan
perjalanan sistem pilihanraya yang diadakan di negara ini,” ujar Ketua
Penerangannya, Riduan Mohd Nor.
Selain itu, katanya hampir setiap hari ada pendedahan bagaimana
penyelewengan atau kecuaian dilakukan oleh SPR di kebanyakan tempat.
Beliau dalam satu kenyataan berkata, paling rakyat tidak boleh
lupakan adalah bagaimana SPR boleh menipu jutaan rakyat Malaysia dengan
penggunaan dakwat yang tidak kekal.
Bagi DPPM, ujarnya kesalahan yang dilakukan oleh kedua-dua pemimpin SPR ini amat besar dan sukar bagi rakyat memaafkannya.
“Mereka ini telah menjadikan SPR sebagai badan yang tidak
profesional, cuai, tidak amanah serta tidak bertanggungjawab semasa
mengendalikan pilihanraya ke-13,” katanya.
Malah, tamba beliau Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR telah menjatuhkan kredibiliti negara di mata dunia.
“Sebagai rakyat Malaysia, kita merasa malu apabila nilai demokrasi
serta perjalanan pilihanraya negara dipertikaikan banyak pihak termasuk
negara-negara lain.
“Apakah rakyat akan memberikan satu lagi peluang dan kepercayaan
kepada kedua-duanya berkhidmat untuk PRU14 setelah prestasi buruk yang
dipamerkan oleh SPR semasa PRU13?,” tanya beliau.
Percayalah, katanya selagi kedua-duanya masih di situ dan selagi
sistem pilihanraya tidak dirombak keseluruhannya mengikut kehendak dan
tuntutan rakyat, sistem pilihanraya tidak akan berubah malah semakin
banyak penipuan dilakukan.
Menurutnyas, jalan keluar yang paling selamat adalah dengan mendesak
kedua-duanya meletakkan jawatan di samping suatu siasatan bebas dibuat
bagi menyiasat secara menyeluruh penipuan dalam PRU13.
“Sekiranya kukuh dakwaan tersebut mereka perlu diheret ke muka pengadilan,” tegasnya.
Beliau berkata, hukuman berat sekalipun terhadap kedua-duanya tidak
mampu membayar kesedihan, penat lelah, masa serta wang ringgit yang
ditaburkan oleh rakyat bagi memenuhi tuntutan demokrasi di negara ini.
No comments:
Post a Comment