DAP
menyokong tindakan yang dikenakan ke atas pasangan 'bak kut teh' Alvin
Tan dan Vivian Lee namun menggesa tindakan serupa dikenakan ke atas
Datuk Ibrahim Ali dan Datuk Zulkifli Noordin, kata Lim Guan Eng.
Menurut Setiausaha Agung DAP itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu
Bakar berkata polis sudah menjalankan siasatan ke atas Zulkifli
berhubung penghinaan kepada penganut agama Hindu dan mengemukakannya
kepada Pejabat Peguam Negara akan tetapi diarahkan untuk menghentikan
siasatan kerana kurangnya bahan bukti.
Manakala bagi ancaman Ibrahim untuk membakar Kitab Injil, polis belum menerima arahan daripada Pejabat Peguam Negara.
Lim berkata keengganan Peguam Negara membuat pertuduhan ke atas Ibrahim
dan Zulkifli telah memberi ruang berlakunya tindakan rasis dan menteri
fahaman pelampau seperti Menteri Perumahan, Kerajaan Tempatan dan
Kesejahteraan Bandar Datuk Abdul Rahman Dahlan mengeluarkan kenyataan
dan membiarkan Ibrahim mahu membakar Kitab Injil dan Zulkifli melakukan
penghinaan kepada penganut Hindu.
Beliau memberitahu dengan pemilihan Umno yang akan berlangsung pada
hujung tahun ini, rakyat Malaysia boleh menjangka pemimpin seperti Abdul
Rahman bakal menyerlahkan orientasi politik rasis dan pelampau.
"Ini jelas menunjukkan pendakwaan pilih kasih oleh Peguam Negara dengan
mencetuskan persoalan kepada rakyat Malaysia, mengapa pasangan Alvivi
boleh didakwa menerusi kiriman Facebook tetapi Zulkifli tidak boleh
didakwa atas kenyataan di YouTube yang juga menggunakan medium Internet.
"Mengapa tindakan ke atas Alvivi diambil dalam masa seminggu selepas
laporan polis dikemukakan tetapi tiada tindakan ke atas Ibrahim biar pun
banyak laporan polis yang dikemukakan sejak enam bulan lalu," ujar Lim
dalam satu kenyataan media hari ini.
Lim menegaskan ketiadaan tindakan oleh Ketua Polis Negara memberanikan
lagi menteri Umno menyokong usaha rasis dan polisi melampau oleh Ibrahim
dan Perkasa.
"Orang Islam dan bukan Islam tidak seharusnya dibenarkan membakar kitab
suci agama lain sama ada tersalah cetak atau tidak sesuai kepada agama
tertentu.
"Abdul Rahman dua hari lalu menyokong Ibrahim dengan menyatakan kes
Ibrahim tidak boleh disamakan kerana Alvivi mensasarkan kepada agama
lain dan boleh menjejaskan keharmonian kaum," jelas Lim.
Khamis lalu, laman berita Malaysiakini melaporkan Abdul Rahman berkata
kenyataan Ibrahim Ali yang menggesa pembakaran kitab Bible dengan
kalimah Allah berbeza dengan tindakan pasangan Alvin dan Vivian yang
kini didakwa mempersendakan umat Islam.
Beliau berkata Ibrahim pernah menjelaskan kepada beliau yang gesaan itu
dibuat dengan anggapan Kitab Injil dengan kalimah Allah adalah satu
kesilapan percetakan dan membakarnya adalah cara terhormat melupuskan
kitab itu, seperti cara umat Islam melupuskan al-Quran lapuk dan disalah
cetak.
Abdul Rahman menambah tindakan pasangan penulis blog seks itu bersifat
menyerang agama lain, mampu mencetuskan pergeseran agama dan pada masa
sama mereka juga turut dikenali di negara jiran Singapura. - 20 Julai,
2013. The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment