Rancangan untuk menggabung ketiga-tiga parti komponen Barisan Nasional
(BN) tidak akan mengembalikan sokongan ataupun menawan semula pengundi
Cina, kata penganalisis politik.
Penganalisis berpendapat masalah utama MCA, Gerakan dan SUPP yang
mengikis keyakinan pengundi mereka ialah kebencian ketara terhadap BN
dan sikap tunduk kepada Umno.
Penganalisis politik, Dr Lim Teck Ghee, berkata cadangan penggabungan
itu berpunca dari 'kesempitan' dan cubaan terakhir untuk kekal relevan
dalam arena politik.
"Bagaimanapun, penggabungan bukanlah jawapan kepada pengundi Cina mahu
dari parti mereka. Pengundi mahu parti yang berdiri memperjuang hak dan
bercakap bagi pihak mereka.
"Pemimpin ketiga-tiga parti juga dilihat lebih berminat untuk
mengekalkan agenda sendiri dan kuasa," katanya dan menambah, pengundi
Cina mengharapkan keadilan dan janji kesaksamaan ditunaikan.
"Kontroversi terkini melibatkan pendidikan universiti, jelas
menunjukkan kelemahan dan ketakmampuan ketiga-tiga parti itu untuk
memperjuang hak masyarakat Cina," katanya.
Beliau merujuk laporan media membabitkan beberapa pelajar bukan Melayu
terbaik yang tidak mendapat tempat dalam universiti tempatan untuk
belajar perubatan dan lain-lain kursus yang popular.
Pengarah Eksekutif Merdeka Center Ibrahim, Suffian pula percaya
ketiga-tiga parti politik itu mungkin menjadi lebih berkuasa dalam BN
jika penggabungan berlaku.
"Cadangan penggabungan sedikit terlewat. Kurang sokongan di kalangan
pengundi Cina bukan kerana bantahan pengundi ke atas MCA, SUPP dan
Gerakan sahaja," katanya.
Sebaliknya, beliau percaya peralihan pengundi Cina menunjukkan tahap hilang kepercayaan ke atas BN secara keseluruhan.
Sementara itu, pemimpin Pakatan Rakyat (PR) membayangkan langkah itu
pasti berdepan halangan besar lantaran falsafah politik berbeza antara
mereka.
"Ia tidak akan jadi mudah bagi ketiga-tiga pihak untuk bergabung.
Mereka perlu menjawab kepada akar umbi, punca mengapa mereka mahu
bergabung.
"Bagaimana mereka kendalikan aset parti? Adakah MCA bersedia melepaskan
matlamat mereka berjuang untuk kaum Cina dan menjadi parti berbilang
kaum?
"Siapakah yang akan jadi Presiden 'parti baru' ini? Chua Soi Lek? Peter
Chin?" kata Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok merujuk pemimpin semasa MCA
dan SUPP.
Pengarah Strategi DAP, Dr Ong Kian Ming juga percaya usaha penggabungan
itu terlewat memandangkan setiap parti politik memiliki struktur
berbeza.
Sebagai contoh, MCA sebuah parti berasaskan kaum Cina manakala dua
parti lain mempunyai kecenderungan berbilang kaum tanpa mengira ahli
bukan Cina, dalam struktur kepimpinan. - 21 Julai 2013.
The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment