Pendamaian
kebangsaan atau "national reconciliation" yang dijanjikan oleh Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Razak hanya retorik dan tidak diperlukan, kata
Datuk Ibrahim Ali (gambar).
"Tidak perlu bincangkan Pendamaian Kebangsaan dengan saya, ia hanya satu perkara retorik.
"Sesiapa yang menang mestilah dihormati dan saya ucapkan tahniah
kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Barisan Nasional yang
kekal sebagai pemerintah," kata Presiden Perkasa itu.
Pada sidang media di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur hari ini,
Ibrahim turut menggesa pihak yang kalah dalam pilihan raya umum ke-13
(PRU13) supaya menerima keputusan itu.
Najib didakwa mahu memulakan pendamaian kebangsaan dan mendakwa ia
sebagai usaha menyatukan rakyat Malaysia berikutan keputusan PRU13
sebagai 'tsunami Cina'.
Ibrahim yang turut gagal mempertahan kerusi Parlimen Pasir Mas - kali
ini atas tiket BN, menggesa pihak yang kalah pada PRU13 supaya menerima
keputusan itu.
Beliau meminta mereka menunggu lima tahun lagi pada PRU14, bukannya mempertikaikan keputusan tersebut.
"Yang kalah perlu terima dan tunggu lima tahun lagi. Mereka yang
bercakap banyak adalah paling tidak bermoral dan korup," katanya.
Ibrahim juga tidak bersetuju sekiranya menyalahkan masyarakat Cina
semata-mata pada pilihan raya lalu ekoran majoriti lebih kecil yang
diperoleh BN, sebaliknya beliau berkata masyarakat yang berpengetahuan
serta lebih bijak sebagai faktor utama penentu dalam keputusan pilihan
raya 5 Mei lalu.
Menurut Ibrahim, masyarakat sekarang tidak lagi terpikat dengan janji
wang ringgit mahu pemberian kebendaan sebaliknya mengganggap ia sebagai
tanggungjawab kerajaan untuk memberikannya kepada mereka.
"Kita sekarang bergerak ke arah masyarakat berpengetahuan... jangan hina rakyat, mereka lebih berpendidikan dan berpengetahuan.
"Bukan macam dahulu lagi, rakyat sekarang berpandangan segala yang
diberikan kerajaan adalah wang mereka, hak mereka dan itu adalah
kewajipan kerajaan," kata Ibrahim apabila ditanya tentang pandangannya
tentang peralihan sokongan masyarakat Cina yang lebih memihak kepada
pembangkang Pakatan Rakyat (PR) pada pilihan raya lalu.
Ibrahim menyifatkan pada PRU14 nanti, pengundi yang berpengetahuan
akan melihat isu-isu seperti sikap dan tingkahlaku calon yang mereka
akan undi, ketelusan sesebuah parti politik dan parti mana yang mampu
memberi jaminan lebih baik kepada mereka sebagai penentu kemenangan
dalam pilihan raya lima tahun lagi.
"Selepas ini, pengundi akan melihat parti yang dapat buktikan seluruh pasukannya baik akhlak, berkemampuan dan bersih.
"Parti inilah yang akan menang dalam pilihan raya depan nanti," katanya lagi.
Najib semasa sidang Parlimen yang dibuka baru-baru ini berkata
Pendamaian kebangsaan hanya akan dilaksanakan sekiranya PR menerima
keputusan PRU13.
Pada pilihan raya 5 Mei lalu, Najib dan BN kembali berkuasa di
Putrajaya dalam satu persaingan sengit yang menyaksikan PR memenangi
undi popular tetapi masih tewas dalam pilihan raya.
PR memperoleh undi popular sebanyak 51 peratus berbanding BN yang hanya mendapat 48 peratus daripada jumlah keseluruhan undi.
Selain itu, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim juga
mempertahankan tindakannya membantah keputusan pilihan raya 5 Mei lalu
dengan menuduh BN memenangi hasil daripada penipuan dan salahguna kuasa
serta mendakwa proses pilihan raya dijalankan secara tidak adil oleh
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
BN menang tipis pada 5 Mei dengan hanya 133 kerusi Parlimen
berbanding 89 kerusi oleh PR, lebih rendah daripada 140 kerusi yang
mereka menangi pada Pilihan Raya 2008 lalu.
Pembangkang PR selepas pilihan raya telah mengadakan bantahan
terhadap keputusan pilihan raya 5 Mei lalu dalam siri dan perhimpunan
#Black505 ke seluruh negara termasuk di Selangor, Johor, Pahang, Perak,
Melaka dan Terengganu, serta mendakwa pemerintah BN memenangi pilihan
raya dengan penipuan. - 3 Julai, 2013.The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment