DUNIACACAMARBA
[HM] Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) tidak
pernah mengeluarkan surat kebenaran kepada mana-mana pertubuhan mahupun
orang perseorangan yang mahu mengutip derma untuk golongan fakir, masjid
atau surau sejak 10 tahun lalu.
Pengarahnya Datuk Che Mat Che Ali berkata, sekiranya ada pihak yang
menjadikan surat kebenaran dengan cop JAWI sebagai bukti, ia palsu dan
bertujuan mengaburi mata masyarakat untuk menjalankan aktiviti pungutan
derma.
“JAWI sudah lama tidak mengeluarkan surat kebenaran atau permit bagi
mengizinkan mana-mana pihak atau individu untuk mengutip derma daripada
orang ramai. Hanya kutipan derma dikhaskan untuk rakyat Gaza di Palestin
saja yang mendapat kelulusan JAWI.
“Bagi pertubuhan yang mewakili golongan fakir miskin atau anak yatim,
mereka sebenarnya tidak perlu pun mengutip derma, sebaliknya kemukakan
permohonan kepada Baitulmal dan kami sememangnya mempunyai dana khas
untuk membantu golongan ini,” katanya pada sidang media di sini,
semalam.
Selain itu, beliau berkata, individu yang tergolong sebagai asnaf dan
fakir sepatutnya menggunakan saluran atau prosedur yang betul jika mahu
memohon sebarang bantuan.
Menurutnya, bantuan boleh dimohon daripada Pusat Pungutan Zakat (PPZ)
Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) atau Baitulmal Wilayah
Persekutuan (Baitulmal).
“Banyak laporan kita terima menyatakan golongan ini tidak mahu memohon
bantuan dengan cara betul berikutan perlu menyediakan dokumen yang
banyak,” katanya.
Katanya, sepanjang operasi pemantauan dilakukan pihaknya sejak tiga
minggu lalu, 12 individu ditahan membabitkan 133 tabung kutipan derma di
sekitar ibu negara dan Putrajaya.
No comments:
Post a Comment