Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah gagal
menjelaskan kehilangan hutang baki RM70 juta melibatkan Pusat Fidlot
Kebangsaan (NFC), selepas diasak oleh Ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR)
hari ini di dalam Dewan Rakyat.
Walau bagaimanapun, Ahmad Husni mempertahankan baki hutang RM70 juta
tersebut akan dapat ditemui menerusi satu proses forensik audit tetapi
ia mengambil masa yang agak lama kerana melibatkan perkara teknikal.
"Bila dapat maklumat, perkara itu tak disuarakan oleh sesiapa tetapi
kita buat forensik audit kemudiaannya nampak jelas permasalahan
tersebut.
"Bila bincang dengan AG, baru kita tahu tindakan apa yang boleh
diambil... perundangan itu yang kita ambil perhatian," kata Ahmad Husni
di Dewan Rakyat hari ini.
Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli bangun menyoal Ahmad Husni selepas
menteri tersebut menjelaskan sebilangan RM180 juta telah dipulangkan dan
disita daripada NFC tetapi tidak mendedahkan butiran yang berlaku
terhadap baki RM70 juta lagi.
"Apa yang telah terjadi kepada baki RM70 juta daripada RM250 juta wang yang diberikan kepada NFC?
"Adakah ia hangus atau rugi begitu sahaja? Kalau mahu baki RM70 juta
itu diperoleh semula, apakah kerajaan mengambil tindakan supaya
pengusaha dan pengarah terbabit mendapatkan semula wang tersebut?" soal
Rafizi dari PKR kepada Ahmad Husni.
Ahmad Husni sebaliknya memberi jawapan wang tersebut mampu diperoleh
semula menerusi usahasama syarikat tempatan dengan Jepun, Kirimitonas
Agro Sdn Bhd dijangka akan mampu mengembalikan semua hutang oleh NFC.
"Kita sudah ada letter of intent dengan Kirimitonas dan kita sekarang
dalam proses penilaian ke atas syarikat tersebut dan menunggu buat
rundingan.
"Rundingan tersebut kalau berjaya maka syarikat tersebut akan beri komitmen akan membayar seluruh hutang," terang Ahmad Husni.
Kontroversi melibatkan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil tercetus
selepas dikaitkan dengan projek penternakan lembu Pusat Fidlot
Kebangsaan (NFC), dimana projek tersebut dianugerahkan kepada NFCorp
yang dimiliki oleh suaminya Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail pada 2006
ketika Shahrizat masih lagi dalam Kabinet.
Projek itu dipersoalkan apabila Laporan Ketua Audit Negara pada 2011
menunjukkan beberapa kelewatan menjejaskan kemajuan ladang 1,500 hektar
yang beroperasi sepenuhnya, malah lembu tidak cukup untuk pengeluaran
optimum.
Ahli Parlimen pembangkang menggunakan laporan audit itu dan membuat beberapa pendedahan tetapi dinafikan oleh syarikat itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pada Januari
2012, aset NFCorp dibeku dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
(SPRM) menyiasat dakwaan penyelewengan wang dalam syarikat itu.
Siasatan Polis dan SPRM tertumpu kepada kemungkinan pecah amanah
selepas pertuduhan sekurang-kurangnya RM27 juta daripada dana projek
digunakan untuk membeli tanah dan hartanah di Singapura dan Kazakhstan,
tidak kena mengena dengan penternakan lembu.
Pada 12 Mac 2012, Mohamad Salleh minta dibicarakan atas pertuduhan
pecah amanah berjumlah RM9,758,140 melalui empat cek untuk membayar
sebahagian daripada pembelian dua unit Kondominium One Menerung di Blok B
di Bangsar, Kuala Lumpur untuk National Meat and Livestock Corporation
Sdn Bhd, yang dimiliki oleh dirinya dan seorang anak lelakinya.
Skandal itu menyebabkan Shahrizat hilang jawatan sebagai Menteri
Wanita, Pembangunan Keluarga dan Masyarakat pada akhir Mac 2012 oleh
kerana Najib tidak memperbaharui jawatan senatornya. Beliau juga tidak
bertanding dalam Pilihan Raya 2013 akan tetapi kekal sebagai ketua
Wanita Umno. – 11 Julai, 2013.TMI
No comments:
Post a Comment