myMetro 4 Jul 2013
Jakarta: Ketua samseng yang pernah menguasai Tanah Abang, Hercules
Rozario Marshal, bakal bebas seminggu lagi selepas dihukum penjara
selama empat bulan dan denda 64 sen kerana menghasut rusuhan antipolis
di Kembangan, Jakarta Barat.
Mahkamah Daerah Jakarta Barat membuat penghakiman itu, semalam.
Keputusan itu mengejutkan polis yang sebelum ini mengkritik pendakwa kerana mencadangkan hukuman penjara enam bulan saja untuk kesalahan yang menyediakan hukuman maksimum sembilan tahun.
Hakim Kemal Tampubolon berkata, defendan disabitkan kesalahan
mengugut untuk mencederakan anggota keselamatan. Rakan Hercules, M
Sidik yang juga bekas pemimpin Forum Komunikasi Betawi (Forkabi) turut
dikenakan hukuman sama. Hercules mengetuai rusuhan di Kembangan dengan
merosakkan tingkap kedai sebagai membantah arahan polis membubarkan
kumpulan samsengnya yang berselindung di sebalik nama Gerakan Rakyat
Indonesia Baru.
Pertubuhan itu didakwa mempunyai kaitan dengan Parti Gerakan Indonesia Raya (Gerindra) pimpinan bakal calon presiden, Prabowo Subianto.
Pertubuhan Hercules menjadi sasaran polis selepas mereka dipercayai aktif dalam kegiatan memeras ugut penduduk setempat serta memungut wang perlindungan daripada peniaga. Hercules ditahan sejak hampir empat bulan lalu dan pelaksanaan hukuman penjara ke atasnya dijangka tamat minggu depan. - Agensi
No comments:
Post a Comment