Thursday, July 4, 2013

Piala AFC, Misi sama Selangor, Johor DT

PERTAHANAN Selangor, Adam Griffith (kanan) mengasak pemain T-Team, Damir Ibric Yuksel pada aksi Liga Super di Stadium Shah Alam malam kelmarin.

PASUKAN manakah yang lebih layak mengiringi Kelantan untuk beraksi dalam kempen Piala AFC musim depan?
Biarpun Lions XII sudah sah ditabalkan selaku juara Liga Super musim ini, namun wakil Singapura itu tidak layak beraksi pada kempen Piala AFC disebabkan status mereka sebagai pasukan jemputan dalam Liga Malaysia (Liga M).

Sabtu lalu, Kelantan telah mengesahkan slot ke Piala AFC 2013 secara automatik selepas muncul juara Piala FA hasil kemenangan 1-0 ke atas Johor Darul Takzim (Johor DT) pada aksi final di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Kini, Selangor dan Johor DT mencongak peluang masing-masing memburu gelaran naib juara Liga Super, sekali gus melayakkan diri secara automatik ke saingan Piala AFC musim depan.
Secara kebetulan, Selangor dan Johor DT akan berentap sesama sendiri pada aksi terakhir Liga Super di Stadium di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin Sabtu ini.

Bagi pengendali Selangor, Irfan Bakti Abu Salim, beliau optimis skuad Gergasi Merah kini berada pada landasan terbaik dalam usaha untuk merebut gelaran naib juara Liga Super musim ini.

“Ia satu pertembungan menarik. Lebih-lebih lagi kedua-dua pasukan berhajat untuk memburu kedudukan naib juara Liga Super.
“Lebih menarik, kami bertemu pada aksi penutup tirai Liga Super dan saya percaya perlawanan itu nanti pasti ditunggu-tunggu oleh penyokong setia kedua-dua pasukan.
“Memang kami hanya perlukan seri untuk muncul naib juara, seterusnya layak beraksi pada Piala AFC, namun tiada istilah seri untuk para pemain Selangor.
“Selain itu, saya hanya menuntut mereka melebarkan rekod tiga kemenangan berturut-turut,” kata Irfan ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Dalam perkembangan sama, Irfan menyifatkan Johor DT umpama harimau terluka selepas tewas kepada Kelantan pada aksi final Piala FA Sabtu lalu.
Begitupun, Irfan yakin skuad kendaliannya mampu mengulangi prestasi cemerlang ketika mereka menewaskan Johor DT 2-1 di gelanggang lawan pada saingan Piala FA April lalu.

“Saya mahu anak-anak buah saya tampil lebih yakin tetapi biarlah berwaspada. Ini kerana sikap terlalu yakin boleh mengecewakan Selangor.
“Kami menyedari, bukan satu tugas yang mudah untuk menentang Johor DT. Mereka sudah pasti mahu memburu tiga mata berharga pada aksi terakhir liga di depan penyokong sendiri.
“Namun, kami pernah mencipta kejayaan di sana (Stadium Tan Sri Hassan Yunos) dan saya yakin, Selangor mampu mengulangi persembahan positif itu nanti,” katanya.

No comments:

Post a Comment