Tuesday, August 13, 2013

Dendam: MB T’ganu diseru hayati semangat Idulfitri

Harakahdaily, 13 Ogs 2013
KUALA LUMPUR: Tindakan ‘politik diskriminasi’ dan ‘balas dendam’ kerajaan Umno BN Terengganu yang diketuai Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said adalah kerana parti itu telah ‘hilang arah’ politik selepas mengalami kekalahan tujuh kerusi Dun dan dua parlimen pada Pilihanraya Umum ke-13 lalu.

Pelbagai sekatan dan halangan yang telah dilakukan oleh kerajaan Umno BN Terengganu termasuk arahan Ahmad Said sendiri supaya pihak Yayasan Terengganu (YT) tidak menerima borang permohonan yang ditandatangani oleh wakil rakyat PAS dan Pakatan Rakyat.

Bukan sahaja pihak pembangkang menjadi mangsa malah ‘pengikut’ Umno sendiri di kalangan Jawatakuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) telah menerima ugutan akan dipecat, ekoran kekalahan Umno, khususnya di Dun Chukai.

Selain itu, beberapa penjawat awam negeri dan Persekutuan telah menerima amaran dan diminta menulis surat tunjuk sebab semata-mata kerana menunjukkkan sokongan dan menerima pemberian ‘kek’ sempena sambutan Hari Jururawat dan Hari Guru yang diberikan oleh wakil rakyat PAS.

“Sepatutnya tidak ada politik ‘balas dendam’ yang kita mahukan adalah pembelaan kepada rakyat yang miskin yang perlukan bantuan, tanpa mengira parti, kaum dan agama.

“Kalaulah tindakan diskriminasi kepada rakyat semata-mata kerana kepentingan politik adalah tidak wajar dan tidak menguntungkan rakyat dan kerajaan negeri,” ujar Adun Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi dipetik Buletin Online.

Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas tindakan ‘politik balas dendam’ kerajaan negeri  ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka di Batu Burok, Kuala Terengganu, kelmarin.

Sehubungan itu, beliau menyeru Ahmad dengan semangat hari raya Idulfitri agar mengambil kira suasana dan keadaan politik negeri Terengganu supaya menilai kembali segala tindakan yang telah diambil.

“Dari segi pemerintahan beliau (Ahmad), dia mesti memahami sokongan dan dukungan kepada PAS dan Pakatan rakyat begitu hampir dengan majoriti yang ada kepada beliau,” ujarnya yang juga Penolong Setiausaha Agung PAS.

No comments:

Post a Comment