Wednesday, September 25, 2013

“Sudah nasib badan” berbinkan Dr Mahathir, kata Mukhriz

September 25, 2013
Datuk Mukhriz Mahathir (gambar) menjawab kecenderungan orang untuk menganggap beliau menumpang aura bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad, sebagai 'sudah nasib badan'.

Menteri Besar Kedah itu berkata, menjadi anak kepada seorang tokoh seperti bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir memberi dua maksud kepada beliau.
“Ada dua maksud nasib badan apabila berbinkan Mahathir. Pertama, orang kenal beliau dan anggap saya memiliki ketokohan seperti beliau.Tetapi, nasib badan saya juga kerana mempunyai seorang ayah yang mahu saya dicabar dahulu.


 "Dari awal lagi beliau sudah cakap (beliau) takkan bantu saya (dalam kerjaya politik),” katanya dipetik daripada akhbar Sinar Harian.

Mukhriz berkata, beliau berdepan kekangan apabila memulakan karier politik ketika berusia 39 tahun, iaitu selepas Dr Mahathir bersara dari jawatan nombor satu itu pada 2003.

“Karier politik saya turun naik. Selepas pulang dari melanjutkan pelajaran di luar negara, saya berminat untuk menyertai bidang politik, tapi beliau tidak membenarkannya sebab mahu elak nepotisme.
“Selepas beliau bersara pada 2003, baru saya dapat bertanding jawatan Ketua Pemuda (Umno Bahagian) Kubang Pasu. Saya bertanding di kawasan di mana beliau jadi ketua bahagian selama 35 tahun, tapi saya kalah dengan sembilan undi.
“Kemudian (saya) bertanding pula jawatan ketua pemuda Umno dan dapat tempat tercorot. Bagi saya memang tidak ada langsung aura Dr Mahathir dalam diri saya ketika itu,” katanya.

Beliau bagaimanapun mengakui banyak belajar daripada apa yang dilakukan oleh bapanya.
“Kalau betul saya anak bapa dan diberi laluan mudah, beliau sudah lakukannya ketika bergelar Presiden Umno dan perdana menteri. Mungkin sekarang saya sudah ada kedudukan selesa.
“Tetapi saya bertuah sebab saya sampai ke destinasi dalam keadaan tercalar. Itu yang mematangkan diri saya untuk menghadapi cabaran,” katanya. – 25 September, 2013. The Malaysian Insider

No comments:

Post a Comment