Badan
pengkaji politik atas talian, PoliTweet.org meramalkan Pakatan Rakyat
(PR) akan mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau,
walaupun kajian terbaru mendapati sokongan kepada pembangkang menurun
selepas pilihan raya umum ke-13 (PRU13) lalu.
Kajian terkini oleh badan itu mendapati sokongan kepada PR menurun
khususnya di kalangan pengundi berusia dalam lingkungan 21 ke 64 tahun,
terutama mereka yang berusia antara 25 ke 50 tahun.
"Kami mendapati sokongan kepada PR menurun kepada 6.5% iaitu daripada 63% kepada 57%.
"Bagaimanapun, PR berkemungkinan mengekalkan kerusi tersebut dalam
pilihan raya kecil kali ini," kata PoliTweet dalam laporan hari ini.
Dalam laporan itu, PoliTweet juga mendedahkan pengundi atas pagar dan
"condong kepada Barisan Nasional (BN)" semakin meningkat, berbanding
kepada PR pada PRU13 lalu.
"Sokongan purata kepada PR bagi setiap pengundi menurun dengan jumlah sekitar 2.86%.
"Sokongan wanita turun 2.83% manakala lelaki menurun kepada 2.89%," kata laporan itu.
Bagaimanapun, PoliTweet berkata, jumlah penurunan sokongan 19, 202
pengundi (70.38%) tersebut masih kecil untuk diambil kira sebagai faktor
utama bagi membantu BN memenangi pilihan raya di Sungai Limau.
"Namun, penurunan ini masih kecil untuk memberi kesan kepada keputusan kerana sokongan purata daripada pengundi adalah 57%.
"Majoriti yang turun antara 1 ke 7% sahaja, bermakna kebanyakan
penyokong bertukar sama ada menjadi pengundi atas pagar atau kekal
menyokong parti pilihan mereka," katanya.
Kaedah yang digunakan oleh PoliTweet bagi kajian yang dijalankan sama
seperti yang digunakan semasa PRU13 lalu iaitu dengan memadankan
keputusan saluran pusat mengundi dalam pilihan raya umum ke-12 (PRU12).
Bagi kajian di Sungai Limau, badan pengkaji tersebut membuat
perbandingan kiraan dengan menggunakan keputusan saluran pusat mengundi
semasa PRU13 untuk memperoleh anggaran ramalan.
PRK Sungai Limau diadakan berikutan kematian penyandangnya, Tan Sri Azizan Razak yang juga bekas Menteri Besar Kedah.
Dalam pilihan raya lalu, PAS dan Pakatan Rakyat Kedah kehilangan negeri
Kedah apabila hanya berjaya mendapat 16 kerusi manakala BN memperoleh
20 kerusi DUN.
Azizan memperolehi 13,294 undi menewaskan calon BN, Mohd Fazillah Mohd
Ali dengan 10,520 undi dan dua lagi calon bebas iaitu Abdullah Hashim
dan Sobri Ahmad yang masing-masing hilang wang pertaruhan.
Jika PAS kalah kerusi Sungai Limau kali ini, ia bukan sahaja kehilangan kerusi tetapi kehilangan harga dirinya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan PRK DUN Sungai Limau akan
berlangsung pada 4 November dan hari penamaan calon pada 23 Oktober ini.
Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata tiada hari
pengundian awal dan terdapat 27, 222 orang pengundi yang akan mengundi
di kawasan itu. – 10 Oktober, 2013. The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment