Jaringan
Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK) mendesak kerajaan menutup saja
Jabatan Kemajuan Orang Asli (JKOA) memandangkan institusi itu gagal
membela hak Orang Asli, khususnya berkaitan tanah dan wilayah adat Orang
Asli di Kelantan.
Timbalan Pengerusi JKOAK Harum Asir, 60, mengulas mengenai tindakan
jabatan itu yang tidak menggalas tanggungjawab mempertahankan
kepentingan Orang Asli berhubung isu pengukuran tanah.
Menurut Harum, perbuatan jabatan itu membayangkan mereka bersekongkol
dengan kerajaan Kelantan untuk membenarkan tanah Orang Asli dicuri.
"Untuk apa jabatan ini ditubuhkan bila timbul isu-isu begini, dimana
mereka," kata Harum kepada media selepas penyerahan memorandum di
Pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) di Kuala Lumpur hari
ini.
Harum juga mendakwa pengukuran tanah yang dilakukan oleh Kelantan
melanggar undang-undang kerana ia bertentangan dengan polisi sedia ada
untuk Orang Asli.
"Kerajaan negeri sepatutnya menunggu keputusan kerajaan Persekutuan
mengenai isu pengukuran tanah ini kerana isu tersebut masih dalam proses
perbincangan oleh Jawatankuasa Khas yang mengkaji laporan Inkuiri
Nasional Mengenai Hak Tanah Orang Asli oleh Suhakam.
"Namun bukan sahaja mereka meneruskan kerja pengukuran tersebut malah
turut bersubahat dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli," katanya.
Sementara itu Ketua Persatuan Belia Orang Asli Kelantan Dandi Johar,
21, turut mendedahkan JKOA telah merekrut di kalangan Orang Asli agar
menghasut kaum asli lain untuk memihak kerajaan.
"Itu yang kita kesalkan mereka tubuhkan satu pertubuhan lain yang pro
kepada kerajaan untuk menghasut yang lain, mereka melihat JKOAK ini
sebagai ancaman untuk mereka meneruskan niat jahat mereka,"katanya.
Sehubungan itu JKOAK bertegas dalam hal ini untuk menghantar memorandum kepada Suhakam membantah isu pengukuran tanah.
Selain mendesak kerajaan negeri membatalkan kerja-kerja pengukuran
tanah, memorandum tersebut juga mendesak kerajaan Kelantan tidak
melaksanakan apa-apa polisi tanah sedia ada yang akan melibatkan tanah
diduduki Orang Asli serta tidak melakukan apa-apa tindakan boleh
menjejaskan hak dan kawasan wilayah tanah adat Orang Asli.
Memorandum tersebut diserahkan kepada Setiausaha Suhakam Rodziah Abdul yang mewakili Pengerusi Tan Sri Hasmy Agam.
Rodziah berkata Suhakam akan mengkaji mengenai tuntutan JKOAK itu terlebih dahulu.
"Kita terima memorandum itu dan kita akan mengkaji terlebih dahulu baru
kita akan kemukakan syor tersebut kepada Jawatankuasa Laporan Inkuiri,"
katanya. – 1 November, 2013.
No comments:
Post a Comment