Tun
Dr Mahathir Mohamad (gambar) tidak mempercayai amalan tahyul di
kalangan orang Melayu sebaliknya menyeru orang Islam perlu berpegang
teguh kepada Allah.
Bekas perdana menteri paling lama berkhidmat itu berkata, orang Melayu
tertarik dengan cerita berkaitan perkara tahyul walaupun ia bertentangan
dengan ajaran Islam.
"Mereka bukan sahaja suka lihat dan dengar cerita-cerita berkenaan
makhluk ghaib ini tetapi amat mempercayai adanya makhluk ini dan kuasa
luar biasa mereka ke atas manusia.
"Walaupun percaya Allah SWT boleh melindungi mereka tetapi kepercayaan
bahawa makhluk ini juga memiliki kuasa bertentangan dengan ajaran Islam
yang menekankan bahawa hanya Allah SWT sahaja yang berkuasa ke atas
segala-gala yang ada di dunia dan akhirat," tulis Dr Mahathir dalam
blognya hari ini.
Dr Mahathir berkata amalan mempercayai perkara tahyul tersebut
menyebabkan orang Melayu mengadakan acara bercampur aduk dengan agama.
"Kerana percaya akan kuasa makhluk ghaib ini mereka sering mengadakan
acara yang dicampur aduk dengan agama yang kononnya boleh melindungi
mereka daripada diserang hantu jembalang dan orang halus," katanya lagi.
Berbanding dengan orang Inggeris yang tidak mempercayai perkara tahyul,
Dr Mahathir berkata mereka tidak pula dikacau makhluk tersebut.
"Yang anehnya Mat Saleh yang tidak percaya kepada hantu dan orang halus ini tidak dikacau oleh makhluk-makhluk ini.
"Mereka tidak perlu jampi dan simbah air di keliling bangunan-bangunan
mereka," kata Dr Mahathir yang merujuk kepada amalan-amalan yang
diamalkan oleh masyarakat Melayu apabila berdepan dengan gangguan.
Malah, Dr Mahathir menekankan dalam Al-Quran juga tidak disebut tentang hantu dan orang halus.
"Dalam Al-Quran tidak ada disebut berkenaan hantu dan orang halus.
"Yang disebut dalam al-Quran ialah syaitan, iblis dan jin yang suka
memesongkan orang Islam daripada membuat suruhan Allah SWT. Iblis dan
syaitan boleh disangkal dengan membaca ayat-ayat tertentu yang boleh
mengukuhkan semula iman dan pegangan kepada ajaran Islam," katanya lagi.
Menurut Dr Mahathir, kejahatan dan keganasan adalah berpunca daripada manusia itu sendiri.
"Saya percaya akan kejahatan manusia dan betapa ganasnya mereka.
"Tetapi saya tidak percaya dan tidak takut kepada orang halus atau
lain-lain makhluk ghaib. Saya juga tidak percaya ada cara untuk jadi
kebal daripada tikaman dan peluru," tambahnya lagi.
Dr Mahathir berkata satu-satunya pertolongan yang akan diminta adalah daripada Allah sahaja.
"Dengan kenyataan ini akan adalah percubaan oleh orang tertentu dengan ilmu ghaib mereka untuk mengajar saya.
"Saya cuma akan menuntut pertolongan daripada Allah SWT terhadap orang seperti ini," ujarnya lagi. – 23 Disember, 2013. The Malaysian Insider
boleh caya ka mahadit ni ....??? .hal-hal iblis, syaitan dan jin dia jumpa dalam al-Quran ... hal hudud dia tak jumpa pulak dan dia kata rekaan ulamak-ulamak je ... !!!
ReplyDelete