16 Jan 2014
Laporan BBC mengenai 'kangkung' yang mengaitkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, sudah tidak dapat diakses, dan pakar-pakar teknikal membayangkan puncanya ialah kemungkinan ia telah disekat.
Pada hari Selasa, stesen penyiar British itu telah memetik berita mengenai sendaan orang ramai terhadap kenyataan Najib mengenai harga sayur-sayuran, tetapi warga siber mula melaporkan menghadapi masalah untuk mengakses artikel di lamanwebnya malam tadi.
Mengikut ujian yang dijalankan oleh Malaysiakini sendiri, versi
desktop laporan BBC itu masih tidak boleh diakses sehingga 8 pagi ini melalui Unifi TM dan Perkhimatan 3G Maxis, manakala perkhidmatan mobile Yes 4G dan Celcom tidak terjejas.
Versi mobile bagi artikel yang sama masih boleh diakses dan begitu juga yang lainnya di lamanweb BBC.
BBC sedang menyiasat perkara itu melalui Twitter, dengan bertanya kepada para pengguna, "Adakah anda berada di Malaysia? Jika ya, adakah anda boleh mengakses cerita kami mengenai kangkung?"
Sementara itu, portal berita Digital News Asia memetik seorang pakar keselamatan dan penyedia bebas penyelesaian IT sebagai berkata semua permintaan untuk mengakses artikel BBC itu sedang digugurkan oleh pembekal perkhidmatan internet (ISP), sekaligus menyekatnya.
"BBC atau mana-mana portal besar yang menggunakan CDN (rangkaian penghantaran kandungan) yang mengendalikan permintaan halaman untuk server mereka - jika server berkenaan terlebih beban, lamanweb utama bbc.co.uk tidak boleh diakses.
"Jika ia telah digodam, seluruh domain tidak akan boleh diakses. Ini sekatan URL khusus, akan hanya boleh dilakukan dengan menapis paket dan memanipulasi rangkaian trafik," @sniiffit dipetik sebagai berkata.
Penapisan seperti ini merupakan satu pelanggaran Bil Jaminan Koridor Raya Multimedia Malaysia, yang menyatakan, antara lain, bahawa kerajaan akan memastikan tiada penapisan Internet.
Laporan M'kini mengenai kangkung juga disekat
Laporan itu juga memetik pengasas bersama Sinar Projek, Khairil Yusof yang mengatakan bahawa ini adalah jenis tapisan terpilih internet yang sama seperti yang dilakukan semasa Pilihan Raya Umum (PRU13).
Beliau merujuk kepada sekatan yang dikenakan terhadap video KiniTV mengenai temubual dengan A Santamil Selvi, balu kepada penyiasat persendirian P Balasubramaniam, mengenai perkara yang berkaitan dengan kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu, yang tidak dapat diakses melalui beberapa ISP tempatan, termasuk TM.
"Menurut ujian kami, ia jenis yang sama seperti penapisan yang dilakukan semasa PRU13. Ia bukanlah sesuatu yang baru dan ini mengesahkan bahawa kerajaan masih mewujudkan penapisan dan sedia untuk menggunakannya," katanya dipetik.
Sementara itu, laporan Malaysiakini semalam, 'Kangkung -theme
protest draws giggles' nampaknya menghadapi masalah yang sama seperti artikel BCC yang disekat itu.
Ia tidak boleh diakses selepas dimuat naik pada jam 9.19 malam, tetapi Malaysiakini telah memuat naik semula laporan yang sama pada jam 7.22 pagi ini dan setakat ini versi baru ini masih belum disekat.
Malaysiakini juga menyiasat mengapa lamanwebnya telah secara misteri tidak boleh diakses secara berkala sepanjang minggu yang lalu.Malaysiakini
No comments:
Post a Comment