Naib
Presiden PAS, Datuk Husam Musa (gambar) membidas cadangan Putrajaya
untuk membuka Hard Rock Cafe bercirikan Islam yang disifatkannya tidak
masuk akal.
Bekas calon Parlimen kerusi Putrajaya tersebut berkata tiada Hard Rock
Cafe yang dibuka di seluruh dunia tidak menyajikan hiburan melampau dan
juga minuman keras.
"Mana ada negara dunia yang Hard Rock Cafe dibuka tanpa hiburan dan minuman keras?
"Kalau ada tunjuklah," kata Husam dalam sidang media selepas sesi sembang petang di Putrajaya petang ini.
Husam juga berkata sepanjang tempoh berkempen pada Pilihan Raya Umum
ke-13 lalu, rata-rata penduduk di Putrajaya banyak meminta supaya
sekolah agama dibuka di samping rungutan tentang masalah letak
kenderaan.
"Masa saya berkempen di sini dulu, tak ada pula penduduk Putrajaya meminta untuk dibuka Hard Rock Cafe.
"Banyak yang hantar surat kepada saya meminta supaya sekolah agama
dibuka, serta menyelesaikan masalah 'parking'," tambahnya lagi.
Menurut Husam lagi, banyak cadangan yang tidak munasabah daripada
pemimpin Umno dan Barisan Nasional di samping isu kenaikan harga barang
berpunca daripada kegagalan Pakatan Rakyat (PR) menawan Putrajaya.
"Kenapa semua ini berlaku?
"Semua yang berlaku ini kerana kita (PR) gagal tawan Putrajaya pada pilihan raya dahulu," terangnya lagi.
Husam bagaimanapun tidak memberikan sebarang kepastian sama ada akan
bertanding semula di kerusi utama kubu pentadbiran Datuk Seri Najib
Razak, tetapi berharap calon yang akan bertanding selepas ini adalah
seorang yang progresif dan dinamik.
"Tidak kisah lah siapa yang akan jadi calon selepas ini, tetapi calon tersebut mestilah progresif dan dinamik," katanya lagi.
Ahli Parlimen Putrajaya yang juga Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk
Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dalam meredakan ketegangan, berkata Hard
Rock Cafe di Putrajaya boleh memainkan muzik nasyid dan menjadi yang
pertama tidak menjual arak.
Kontrovesi Hard Rock Cafe menerima kritikan selepas Presiden Perbadanan
Putrajaya, Tan Sri Aseh Che Mat mengemukakan cadangan untuk membuka
cawangan pusat hiburan tersebut di Putrajaya.
Cadangan untuk membuka Hard Rock Cafe disuarakan oleh pengasasnya Tan
Sri Syed Yusof Syed Nasir semasa kunjungan ke Putrajaya dan menyatakan
hasrat untuk membukanya di pusat pentadbiran negara tersebut.
Namun Aseh kemudiaan mengumumkan dalam akaun Facebooknya Hard Rock Cafe
tidak akan membuka cawangan di Putrajaya kerana pusat pentadbiran itu
tidak membenarkan premis menjual arak dan hiburan.
Syed Yusof juga bertanggungjawab dalam membuka cawangan Hard Rock Cafe
Kuala Lumpur, Hard Rock Cafe Penang, Hotel Four Seasons Kuala Lumpur dan
Hard Rock Cafe Melaka. – 12 Januari, 2014.
No comments:
Post a Comment